Artikel Pilihan

TIPS KESELAMATAN KANAK-KANAK DALAM KERETA – IBU BAPA SILA BACA!

Masa perayaan telahpun tiba dan ini bermakna berpusu-pusu kenderaan akan berada di atas jalan raya untuk kembali ke kampung masing-masing. Ini juga bermakna peningkatan jumlah kemalangan akan berlaku lagi seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jadi apakah langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kecelakaan? Di sini kami ingin memberikan garis panduan untuk memastikan keselamatan anak-anak kita sewaktu dalam kenderaan untuk perjalanan dekat mahupun jauh.

Sama seperti mana-mana negara di dunia ini, jumlah kematian kanak-kanak adalah cukup tinggi di dalam kemalangan di negara kita. Punca utamanya ialah kerana ramai kanak-kanak tidak menggunakan talipinggang keledar ataupun talipinggang keledar yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak berusia sekitar 7 tahun ke bawah, penggunaan tempat duduk kanak-kanak adalah amat penting. Ini kerana kebanyakan tali pinggang keledar yang dilengkapkan pada sesebuah kenderaan adalah tidak sesuai untuk saiz badan dan ketinggian mereka. Tempat duduk kanak-kanak boleh menyelesaikan masalah ini.

  1. Harga yang terlalu mahal

Ini merupakan alasan yang paling popular digunakan oleh para ibubapa. Tinjauan kami mendapati ada sesetengah tempat duduk berharga sekitar RM300 dan mempunyai kualiti buatan yang cukup baik. Semestinya ia bergantung kepada model dan jenama. Malah ada yang mencecah RM1000 ke atas. Tapi kami rasa ianya jauh lebih murah daripada telefon ataupun gajet berjenama yang digunakan oleh para ibu bapa kan?

  1. Anak tidak mahu duduk/tidak selesa

Kanak-kanak perlu dibiasakan sebelum ia menjadi rutin. Mungkin pada peringkat permulaan anda boleh memberikannya permainan ataupun memasang rancangan kartun kegemaran mereka sewaktu dalam perjalanan. Bila ia menjadi kebiasaan bukankah ia akan menjadi lebih mudah? Ingat! Lebih baik anak anda menangis demi keselamatan daripada anda menangis di kemudian hari.

BACA: TIPS MEMILIH KERUSI KANAK-KANAK

Negara kita agak ke belakang dalam menguatkuasakan undang-undang tempat duduk kanak-kanak berbanding dengan negara lain. Ia bakal dikuatkuasakan hanya menjelang 2019 berbanding negara maju yang sudah lama menguatkuasakannya.

Kita ambil contoh undang-undang Australia yang menyatakan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun tidak dibenarkan berada di tempat duduk penumpang hadapan. Mereka mesti diletakkan di baris kedua ataupun ketiga di belakang pemandu.

Kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun pula hanya boleh berada di sebelah pemandu jika tempat duduk belakang telah penuh dengan kanak-kanak lain. Nah, sambil begitu sekali serius undang-undang yang ditetapkan demi menjamin keselamatan kanak-kanak.

Di Malaysia pula, siap boleh diletakkan anak ataupun bayi dalam keadaan baring tanpa tempat duduk khas di bahagian belakang. Bagaimana jika anda terpaksa membuat brek mengejut? Sempat ke nak pegang bayi dalam keadaan kalut ribut.

PENGGUNAAN TILAM UDARA KHUSUS UNTUK KERETA 

Ini satu lagi aksesori mengarut yang tidak sepatutnya ada dan cukup laris di pasaran dalam talian. Ia kononnya cukup selesa dan mampu mengelakkan anak merengek kebosanan di dalam kereta. Kalau digunakan sewaktu kereta berhenti rasanya tiada masalah tapi kalau sambil bergerak di lebuh raya memang saja cari nahaslah.

Jika bayi di tangan ibu pun boleh tercampak semasa kemalangan inikan pula yang terbaring bebas di atas tilam udara. Paling kami bengang bila ada rakan kami yang turut berminat dengan tilam ini. Untuk keselesaan anak-anak katanya. Adoii la…

KEADAAN MERBAHAYA BAGI KANAK-KANAK DI DALAM KENDERAAN

Ruang dalam kenderaan boleh menjadi tempat yang merbahaya kepada kanak-kanak dan mereka tidak seharusnya dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

JIKA DIBIARKAN BERSENDIRIAN DALAM KERETA:

  • Strok haba dan dehidrasi akan menimpa kanak-kanak. Suhu dalam kereta akan meningkat sehingga 40 darjah Celcius berbanding suhu di luar. Malah menurut kajian, suhu akan meningkat sebanyak 75 peratus hanya dalam masa 5 minit.
  • Lebih memburukkan keadaan jika anda meninggalkan mancis ataupun lighter di dalam kereta.
  • Bermain dengan brek tangan kenderaan.
  • Menggunakan kuncian automatik yang menghalang orang dewasa memasuki kenderaan.
  • Tersepit di celah bukaan cermin tingkap.

KENAPA IA CUKUP MERBAHAYA?

  • Kanak-kanak lebih terjejas dengan strok haba dan dehidrasi berbanding orang dewasa.
  • Mereka tidak menyedari keadaan merbahaya apatah lagi untuk mengelaknya.
  • Mereka mudah bosan dan mahu bereksperimen dengan peralatan dalam kenderaan.
  • Ruang dalaman kereta sebenarnya mempunyai material yang sangat mudah terbakar.

NASIHAT KESELAMATAN

  • Gunakan tempat duduk kanak-kanak dan pakaikan mereka dengan tali keledar sebaik mungkin. Jangan gunakan peralatan seperti tilam udara sewaktu kenderaan sedang bergerak. Bahaya weh!
  • Pastikan pintu berkunci untuk mengelakkan anak kecil bermain dengan pembuka pintu sewaktu kenderaan bergerak.
  • Jangan sesekali membiarkan anak-anak sendirian di dalam kenderaan walaupun untuk jangka masa yang singkat.
  • Terangkan kepada mereka langkah keselamatan dalam kenderaan secara berterusan. Sebaiknya anda sendiri menjadi contoh ikutan kepada mereka.
  • Jangan sesekali meninggalkan kunci penghidup di dalam kenderaan walaupun di garaj rumah anda sendiri. Pastikan kenderaan sentiasa berkunci untuk mengelakkan kanak-kanak memasukinya tanpa pengetahuan ibu bapa.
Google ads
Back to top button