,
Buletin

PERODUA BUKA TEMPAHAN AXIA STYLE DI SRI LANKA. RM89K SEUNIT

Perodua Axia STYLE membuat penampilan pertama di Sri Lanka pada Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall bermula 8 hingga 10 November 2019.

Pengedar Perodua di Sri Lanka, Unimo Enterprises juga menerima tempahan untuk Perodua Axia STYLE di pameran  tersebut. Penghantaran dijangka bermula awal tahun hadapan.

Di negara kepulauan itu, varian Perodua Axia 2019 dengan gayaan crossover ditawarkan pada harga Rs 3.895 juta (RM89,000) seunit. 

“Sri Lanka merupakan pasaran luar negara terbesar bagi Perodua, Axia mendapat sambutan hangat dengan lebih  3,000 unit dijual sejak tahun 2015. Justeru, ia menjadi destinasi eksport pertama Perodua Axia STYLE baharu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad . 

“Dipasang dengan bampar yang kelihatan lebih lasak bersama skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima jejari bersaiz 15-inci, Perodua Axia STYLE mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya. 

“Pada masa sama mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu,” kata Zainal.

Lebih 2,000 Perodua Axia STYLE telah diserahkan kepada pemiliknya di Malaysia sejak dilancarkan pada September lalu. Perodua Axia 2019 secara keseluruhan telah mencatat jualan lebih 10,400 unit daripada 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

“Permintaan untuk SUV dan crossover semakin meningkat di pasaran antarabangsa. Kami menjangkakan trend yang sama di Sri Lanka.

Perodua Axia STYLE memiliki penampilan crossover yang bergaya dalam satu pakej yang kompak, cekap bahan api, boleh dipercayai dan memberikan nilai terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises, Mahesh Gunathilake.

Unimo Enterprises telah menjual hampir 16,000 kenderaan Perodua sejak 1997. Barisan model mereka kini terdiri daripada Axia dan Bezza. Perodua Bezza merupakan sedan bawah 1.0 liter baharu paling laris di Sri Lanka.

Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019,  peningkatan 50 daripada 2,184 unit tahun lalu. Lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia setakat ini.

Tags
Google ads
Back to top button