,
Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL:TORK DAN KUASA KUDA

Tork maksima dan kuasa kuda maksima adalah 2 angka yang akan dinilai oleh bakal pembeli kereta apabila membaca risalah berkenaan kereta baru. Kalau boleh nilai tork dan kuasa kuda tersebut mestilah besar, bak kata orang Amerika the bigger the better. Secara umumnya jika angka tersebut cukup besar, maka prestasi kereta akan jadi lebih bagus.

Tanggapan ini ada betul dan salahnya. Apabila jurutera mengira kuasa kuda dan tork yang dihasilkan, ia akan mengira keseluruhan sistem bermula dari enjin dan unit transmisi. Ia dipanggil unit trenkuasa. Kebanyakan pengeluar gemar memberi angka yang dijana pada flywheel bukannya kuasa yang sampai pada roda setelah melalui unit transmisi. Mereka lebih suka menjadi juara di atas kertas.

Jadi tidak hairanlah jika prestasi di atas jalan raya adalah hambar tidak seperti yang dihebahkan di atas kertas. Berbalik semula pada tajuk di atas bagaimanakah tork dan kuasa kuda dikira dan dijana daripada enjin? Yang mana satu lebih penting, kuasa kuda ataupun tork?

Bagaimana tork dikira?

Apabila pembakaran (atau letupan) campuran bahan api terjadi, ia akan menghasilkan tekanan yang akan menolak piston ke bawah. Piston ini akan bersambung dengan aci engkol melalui rod penyambung. Mengikut takrifan fizik, tork adalah daya yang bertindak pada satu jarak. Jadi rumusnya adalah seperti berikut:

Tork : Daya x Jarak

Daya diukur dalam unit Newton dan jarak dalam unit meter atau m. Maka unit yang dihasilkan tork ialah Nm. Tork yang dihasilkan oleh enjin 2 lejang pula boleh dikira melalui rumus berikut

Tork : (tekanan x sesaran enjin) / 2 π

Tork yang dihasilkan oleh enjin 4 dikira melalui formula

Tork : (tekanan pada piston x sesaran enjin ) / 4 π

Berdasarkan formula nilai tork berdasarkan tekanan pada piston dan saiz enjin. Tapi nilai tork akan berkurang dengan lejang enjin. π pula adalah pekali bulatan dengan nilai 3.142. Jadi semakin besar saiz enjin semakin besar tork yang akan dihasilkan. Tork enjin 1800cc akan sentiasa lebih besar dari enjin 1000cc.

Jurutera akan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menghasilkan tork yang sama pada mana-mana RPM enjin. Ciri ini dinamakan flat torque.

Kuasa Kuda

Menurut rumus fizik, kuasa adalah ukuran kerja dalam satu masa (P = work / time). Bagi enjin, kuasa kuda boleh diukur dengan nilai tork didarabkan dengan nilai RPM. Semakin tinggi nilai RPM, semakin tinggi kuasa kuda yang akan dihasilkan. Keadaan ini menerangkan kenapa enjin menghasilkan kuasa kuda yang maksima pada RPM yang tinggi.

Kuasa = Tork x RPM

Fenomena ini menerangkan mengapa enjin disel walaupun menghasilkan tork yang lebih tinggi berbanding dengan enjin petrol tidak dapat menghasilkan kuasa kuda yang lebih tinggi. Enjin disel tidak berupaya untuk beroperasi pada RPM yang tinggi kerana dihadkan oleh masa pembakaran, jarak lejang, dan halaju piston. Jadi bagi mengatasi masalah ini dan mengambil kelebihan tork tinggi, enjin disel biasanya dipadankan dengan gear yang lebih panjang dan ratio yang lebih banyak

Dalam graf di atas juga, anda akan dapati bahawa nilai tork dan juga kuasa akan berkurang pada RPM yang tinggi. Enjin tidak dapat menyedut udara dengan efisyen pada RPM yang tinggi (volumetric efficiency loss) lantas menjadikan nilai tork akan berkurang pada RPM tinggi. Kuasa enjin juga akan berkurang disebabkan geseran mekanikal enjin akan menjadi faktor dominan menjadikan kuasa enjin merosot pada RPM tinggi.

Tags
Google ads
Back to top button