Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: 1KR-VET ENJIN TURBO SUV BARU PERODUA?

Toyota Raize dan Daihatsu Rocky telahpun dilancarkan pada pameran Tokyo Motor Show akhir bulan lepas. Kami sebenarnya masih lagi berteka-teki mengenai nama yang akan digunakan oleh samaada Perodua Kembara ataupun Perodua Berbatu (asal dari nama Rocky). Namun ia telahpun mendedahkan serba sedikit spesifikasi enjin yang bakal digunakan.

Pada pendapat perbadi penulis, sudah tentu terdapat beberapa spesifikasi unit trenkuasa yang bakal digunakan oleh crossover terbaru. Bagi membolehkan crossover ini dijual dengan harga yang mampu milik penulis menjangkakan pilihan trenkuasa yang pertama ialah enjin 1500cc dual-VVTi yang akan digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan akan ditawarkan pada varian asas.

Enjin 1500cc ini bukanlah kosong sangat dan masih lagi memiliki keupayaan untuk bersaing dengan pesaing yang lain. Ia lebih ringkas, tidak banyak songeh dan senang dijaga. Anda boleh baca ulasan berkenaan enjin ini di pautan INI.

Berbalik pula pada transmisi yang digunakan pada Daihatsu Rocky dan juga Toyota Raize, beberapa laman sesawang automotif di dalam dan luar negara melaporkan yang kedua dua crossover ini menggunakan transmisi Dual-CVT. Jika Perodua tidak terlalu bersikap konservatif, maka kita akan melihat crossover Perodua ini nanti akan menggunakan transmisi CVT buat pertama kali di Malaysia nanti.

Pihak kami telahpun mengulas panjang berkenaan tranmsisi Direct Shift CVT ini di pautan INI. Adakah transmisi Direct Shift CVT ini sama dengan Dual CVT ini? Kami pun tidak pasti. Direct Shift CVT merupakan transmisi CVT yang telah digandingkan dengan sistem klac dan juga penukar daya kilas (torque converter) di dalam satu unit trenkuasa. Jadi tidak mustahil transmisi ini akan digunakan pada varian yang lebih mahal bersama-sama dengan sistem pacuan semua roda AWD.

Jadi enjin yang manakah bakal digandingkan dengan transmisi D-CVT ini nanti? Selepas puas mencari dan menggali maka timbul satu kod enjin ini iaitu 1KR-VET. Ia merupakan sebahagian enjin dari kumpulan K yang dibina oleh Daihatsu dengan ciri-ciri seperti blok enjin yang dibina dari aluminium, sistem pemasaan rantai yang memacu sistem DOHC, 4 injap bagi setiap silinder, dan mekanisma VVT-i

1 – timing chain, 2 – tension arm, 3 – chain tensioner, 4 – VVT controller, 5 – intake camshaft, 6 – exhaust camshaft

Kepala silinder yang menempatkan sistem VVT-i juga dibina daripada aluminium. Sesaran maksima enjin ini ialah 1000cc dengan 3 silinder sahaja. Saiz diameter gerek ditetapkan pada 71mm dan saiz lejang pula ialah 84mm. Melalui satu laporan yang dikeluarkan oleh 21st Conference of the Parties to the United Nation Framework Convention of Climate Change enjin ini bakal menggunakan teknologi suntikan bahan api terus dan juga suntikan bahan api port (dual injector). Bermakna ada 6 pemancit yang akan dipasang pada enjin ini.

1 – fuel delivery pipe, 2 – fuel injector, 3 – fuel pressure regulator, 4 – charcoal canister, 5 – fuel tank, 6 – fuel pump module, 7 – fuel pump, 8 – fuel pump filter

Nisbah mampatan bagi enjin ini adalah sekitar 9.5:1 satu sahaja bagi memberikan lebih ruang pada sistem pengecas turbo bekerja dengan lebih selesa tanpa masalah ketukan. Sistem sejukan pula akan mengaplikasikan sistem water jacket 3 sub-sistem yang berasingan bagi menyingkirkan haba dengan efisyen. Bagi menghapuskan masalah enapan deposit dalam enjin, sistem Positive Crankcase Ventilation turut diperkenalkan dimana sistem port injection akan memastikan enapan karbon dimasukkan semula dalam silinder untuk dibakar

1 – fuel injector. a – intake port, b – tumble flow

Carian penulis berkenaan enjin ini turut menemui fakta yang mengatakan enjin ini merupakan enjin derivatif yang berasal dari enjin 1KR-FE yang dipadankan dengan sistem turbo memandangkan rekaan enjin 1KR-VET menyamai rekaan 1KR-FE. Sekiranya fakta ini tepat maka enjin 1KR-VET mungkin akan mewarisi teknologi lain dari enjin 1KR-FE.

Ciri-ciri ini termasuklah salutan resin pada permukaan piston bagi mengurangkan geseran, penggunaan gas EGR yang lebih tinggi, dan mampu beroperasi dalam kitaran enjin Atkinson. Namun ini hanya tanggapan jika ciri-ciri ini dipindahkan dari enjin FE kepada VET.

EGR sejukan air. 1 – EGR valve. a – EGR cooler, b – water passage, c – exhaust gas passage

Dengan bantuan pendesak turbo serta pemancit berkembar, enjin ini berupaya menghasilkan 97 kuasa kuda pada 6000 RPM. Tork maksima 140Nm pula dapat dihasilkan di antara 2400-4000 RPM. Ia sebenarnya satu angka yang agak konsevatif jika dibandingakan dengan enjin P10A2 milik Honda.

Tapi disebabkan berat Daihatsu Rocky / Toyota Raize hanyalah 960-970kg sahaja, maka ia bukanlah satu masalah besar. Malah penulis pasti keupayaan transmisi D-CVT milik Toyota mampu mengekstrak kuasa enjin secara optimum kepada permukaan jalan dengan cemerlang dan bukan hanya luar biasa pada atas kertas sahaja.

Berdasarkan kitaran ujian kenderaan ringan sedunia (WLTC), Raize / Rocky berupaya untuk dipandu sejauh 18.6km bagi setiap liter petrol bagi varian 2 roda dan 17.4km bagi varian pacuan semua roda. Dengan saiz enjin yang kompak, penggunaan transmisi D-CVT dan cesi yang ringan maka angka boleh dipuji

Namun ada lagi satu pilihan trenkuasa yang mungkin akan digunakan oleh Perodua. Pada acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018, Perodua telah mempamerkan trenkuasa hibrid yang mungkin akan digunakan oleh model terbaru mereka. Adakah SUV ini akan menggunakan sistem hibrid atau turbo? Nyatakan pendapat anda di ruangan laman sosial Facebook kami.

Google ads
Back to top button