Buletin

PERODUA D55L DILANCARKAN SECARA RASMI 3 MAC INI

Model SUV terbaharu Perodua, D55L atau lebih dikenali sebagai Ativa yang dinanti-nantikan penggemar automotif tanah air bakal dilancarkan secara rasmi pada 3 Mac ini.

Jentera dibangunkan atas platform Daihatsu Rocky dan Toyota Raize itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan AV.

Ia dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM62,500 hingga RM73,400 (di atas jalan, tidak termasuk insurans).

Varian X dan H boleh didapati dalam warna perak (Glittering Silver), kelabu (Granite Grey) dan biru (Cobalt Blue). Varian H turut didatangkan dengan pilihan putih (Pearl Diamond White) dan merah (Pearl Delima Red).

Varian AV pula mendapat sentuhan pilihan warna perak (Glittering Silver), kelabu (Granite Grey), putih (Pearl Diamond White), merah (Pearl Delima Red) dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam.

 D55L menjadi model pertama Perodua yang mendapat khidmat enjin turbo bersesaran 1.0L.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 98 PS pada 6,000rpm dan tork 140Nm bermula pada 2,400 hingga 4,000rpm.  

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT yang menjanjikan penjimatan bahan api dan pemanduan menyeronokkan.

Semua varian dilengkapi ciri-ciri Lane Departure Warning dan Prevention. Manakala varian AV menerima sistem Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert and Adaptive Cruise Control.

Perodua D55L merupakan model Perodua pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

Selain itu, semua varian didatangkan lampu hadapan LED manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam, panel meter TFT 7-inci serta sistem infotainment skrin sentuh 9-inci dengan ciri pengecaman suara.

Google ads
Back to top button