Artikel Pilihan

GORDON MURRAY HASILKAN SUPERCAR ISTIMEWA, T50s NIKI LAUDA

Hari ini kita akan belajar sejarah sedikit berkenaan dengan sebuah jentera Formula 1 yang telah diharamkan untuk bertanding selepas berjaya memenangi 1 perlumbaan. Jentera Brabham BT46 merupakan sebuah kereta lumba spesifikasi F1 namun telah dipasang dengan satu kipas besar di bahagian belakang bagi menghasilkan downforce setinggi 1500kg.

Namun disebabkan bantahan rasmi oleh pasukan lain serta rungutan berkenaan risiko dengan batu jalan yang ditembak keluar melalui kipas menyebabkan jentera ini diharamkan untuk berlumba. Niki Lauda terpaksa berlumba dengan jentera BT46 tanpa fungsi kipas tersebut

Tapi ia tidak menghalang Gordon Murray iaitu pereka asal jentera ini berputus asa. Selepas 43 tahun, Gordon menghasilkan semula jentera ini tapi bukan dalam format jentera Formula 1 tapi dalam bentuk sebuah supercar khusus untuk kegunaan litar sahaja. Jentera ini dinamakan sebagai T50s Niki Lauda. Kereta ini akan dibina di fasiliti syarikat Gordon Murray yang baru dibina, khusus untuk kereta keluaran edisi terhad.

Dengan harga anggaran sekitar RM 17.8 juta, ia merupakan sebuah jentera yang sangat mahal untuk kegunaan litar sahaja. Bagi menambah nilai eksklusiviti, hanya 25 unit sahaja akan dikeluarkan. Setiap unit akan dinamakan mengikut nama litar yang pernah dimenangi oleh Niki Lauda iaitu juara 3 kali bagi perlumbaan Formula 1. Untuk rekod Niki Lauda menjadi juara Formula 1 pada tahun 1975, 1977 dan 1984. 2 kali menjadi juara dengan Ferrari dan satu lagi dengan McLaren

T50s Niki Lauda akan dikuasakan dengan enjin 3900cc V12 Cosworth yang menghasilkan 700 kuasa kuda manakala berat keseluruhan T50s Niki Lauda hanyalah sekitar 852kg sahaja. Sama seperti jentera Brabham BT46, T50s Niki lauda akan menggunakan kipas berdiameter 40cm untuk menghasilkan downforce setinggi 1500kg pada halaju tinggi

Setiap model T50s dihasilkan dengan menggunakan spesifikasi yang unik. Jentara T50s ini telah dihasilkan dengan menggunakan rekaan dan komponen yang berbeza dengan jentera T50 biasa yang dipandu di atas jalan raya. Model T50s Niki Lauda ini dibina khusus untuk di litar perlumbaan

Gordon Murray memulakan projek ini dengan cesi monocoque khas, rekaan transmisi lengkap dengan penukar gear di stering serta enjin V12 yang berupaya untuk menjerit sehingga 12,000 RPM. Ini bertujuan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang tidak boleh diberikan oleh pengeluar lain di litar perlumbaan

T50s Niki Lauda akan menggunakan transmisi 6 kelajuan yang dikawal menerusi penukar gear di stering dengan 2 tetapan gear. Satu set gear akan digunakan bagi perlumbaan yang memerlukan halaju tinggi bagi halaju maksima 322km/jam. Satu lagi set gear dengan ratio pendek akan dipadankan bagi perlumbaan dengan litar yang banyak selekoh

Google ads
Back to top button