Artikel Pilihan

1KR-VET 1000CC TURBO, ENJIN TURBO PERTAMA PERODUA

Kalau anda pengikut tegar Toyota dan Daihatsu, anda mesti kenal dengan perangai dan bagaimana kedua-dua syarikat ini menggunakan teknologi baru. Teknologi turbo ini sebenarnya telah lama digunakan untuk kereta biasa, seingat penulis trend engine downsizing ini bermula seawal tahun 2002 lagi. Bukan Toyota dan Daihatsu tiada kepakaran mengenai turbo, tapi sikap mereka yang konservatif.

Walaupun tahu sedikit sebanyak berkenaan turbo, tapi untuk menggunakan aplikasi turbo dalam skala ekonomi yang besar adalah satu perkara berbeza. Kita tak mahu pasang turbo dan beberapa bulan selepas pelancaran pelanggan balik ke pusat servis telangkup meja SA sebab ada masalah. Enjin turbo yang dihasilkan mestilah tahan lasak, jimat petrol dan cukup bertenaga.

Ala enjin Axia dan Bezza kan? Jawapannya ialah ya, tapi tak sama sebab kod yang digunakan tidak sama. Enjin ini diberikan kod 1KR-VET merupakan enjin dari kumpulan K sama seperti enjin 1KR-VE yang digunakan pada enjin Axia 1000cc VVTi dan juga Bezza 1000cc VVTi. Tapi berbeza dari segi aspek teknikal.

Untuk memudahkan pemahaman 1KR-VET dengan huruf T yang besar merujuk kepada kehadiran sistem turbo. Tapi kita tak boleh sesuka hati sahaja pasang turbo dan letak huruf T. Ini kerana enjin 1KR-VE yang ada menggunakan nisbah mampatan tinggi iaitu 11:1, satu angka yang biasa bagi enjin aspirasi normal untuk mengekstrak kuasa enjin dengan lebih cekap dan efisyen.

Tapi jika anda memadankan turbo dengan nisbah mampatan di atas, maka peluang untuk berlaku fenomena knocking atau ketukan adalah sangat tinggi. Melainkan anda menggunakan kitaran Miller ataupun Teknologi SkyActive X seperti Mazda. Bagaimana Toyota dan Daihatsu buat masih samar, tapi enjin 1KR-VET memiliki nisbah mampatan 9.5:1 satu angka yang konservatif bagi sebuah enjin turbo.

Dalam artikel sebelum ini, berdasarkan maklumat awal dari 21st Conference of the Parties to the United Nation Framework Convention of Climate Change, enjin ini dipadankan dengan 6 suntikan bahan api dari sistem D4-S. Ia terdiri daripada 3 suntikan bahan api terus dan 3 suntikan bahan api Multi Point Port Injection. Disebabkan faktor kos, kemungkinan besar kita akan dapat enjin turbo dengan suntikan MPI sahaja.

Mesti ada komen, kalau suntikan MPI ni mesti kuat minyak sama macam Ezkorak dan Pramu kan. Kemungkinan besar kuat makan petrol kalau masalah knocking tak dikawal, tapi disebabkan jurutera di Toyota dan Daihatsu ini konservatif masalah ini telah dikaji sejak dari awal. Jadi mereka telah mengubah sistem pemasaan untuk meningkatkan EGR.

Kelebihan menggunakan EGR ialah dalam keadaan santai, gas ekzos yang disedut semula dalam enjin akan mengecilkan sesaran enjin. Jadi enjin akan beroperasi dalam keadaan meminimakan penggunaan petrol. Keadaan ini boleh dilakukan dengan memanipulasi pemasaan injap dengan menggunakan sistem VVT-i. Kami telah mengulas lanjut berkenaan isu ini di SINI

Satu lagi kelebihan penggunaan EGR ialah, ia adalah gas lengai yang tidak reaktif. Bila gas EGR kembali semula ke kebuk pembakaran, ia menyerap haba dan merendahkan suhu kebuk pembakaran. Bila suhu rendah, kemungkinan nak berlakunya knocking atau ketukan ini adalah rendah. Bila knocking tak berlaku, penggunaan petrol adalah jimat.

Sebab apa jimat, sebab bila berlaku knocking sensor akan menghantar lebih banyak petrol bagi menyejukkan kebuk pembakaran. Bunyi macam pelik tapi itulah realiti yang berlaku. Tambah lagi best, enjin 1KR-VET ini dipasang dengan EGR cooler, yang bertujuan menyejukkan lagi gas EGR ini. Aplikasi ini sama seperti yang Mazda buat bagi enjin 2.5 SkyActiv G Turbo. Tapi kami tidak pasti adakah ciri ini akan dipasang pada Ativa.

EGR sejukan air. 1 – EGR valve. a – EGR cooler, b – water passage, c – exhaust gas passage

Boleh dikatakan masalah knocking ini dihapuskan terus oleh Toyota dan Daihatsu semasa menghasilkan enjin ini disebabkan sifat konservatif mereka. Enjin ini menghasilkan 97 kuasa kuda pada 6000 RPM tork setinggi 140Nm tork antara 2400-4000 RPM. Secara perbandingan Perodua Myvi 1.5 menghasilkan 102 kuasa kuda dan 136Nm tork pada 4600 RPM.

Dengan gabungan transmisi D-CVT (Dual CVT) yang menggunakan gigi gear pada halaju tinggi. Purata penggunaan petrol adalah sekitar 18.9km bagi setiap liter petrol, sedikit lebih baik berbanding dengan Nissan Almera pada 18.5km/liter. Angka ini sebenarnya sangat bagus untuk sebuah SUV kompak yang menggunakan tayar 17 inci dan lebih tinggi dari sebuah kereta sedan

Dari segi prestasi melalui satu video yang dipaparkan di SINI, Toyota Raize AWD dengan berat 1050kg berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa anggaran 9.6 saat. Namun varian yang digunakan ialah AWD manakala Ativa pula varian FWD yang lebih ringan (mungkin sekitar 950-980kg) dan kami yakin ia mungkin mencatatkan masa yang lebih baik.

Sebagai perbandingan Proton X50 TGDi Flagship dengan 175 kuasa kuda dan 255Nm tork mencatatkan masa pecutan 0-100km/j dalam masa 7.9 saat. Penggunaan bahan api pula ialah sekitar 15.63km bagi setiap liter petrol. Proton X50 menggunakan transmisi 7 kelajuan DCT yang dihantar kepada roda depan.

Tork tinggi, pecutan bagus, penggunaan petrol cemerlang dan tiada masalah knocking antara beberapa objektif yang berjaya dicapai dengan pembangunan enjin 1KR-VET ini. Kami rasa dengan teknologi enjin, transmisi serta sistem ASA 3.0 Perodua Ativa akan menjadi model SUV paling panas tahun ini.

Google ads
Back to top button