Buletin

TEMPAHAN PERODUA ALZA SUDAH DIBUKA? HARGA BERMULA RM69K KATANYA…

Dalam banyak-banyak model baharu yang bakal dilancarkan pada tahun 2022, tidak dapat dinafikan bahawa Perodua Alza merupakan antara yang paling ditunggu ramai. 

Selepas begitu lama dalam pasaran, memang sudah tiba masanya Alza menerima pengganti, walaupun jualan dan sambutan pada model sedia ada masih lagi bagus. Terkini, timbul laporan bahawa orang ramai akan boleh membuat tempahan MPV serba baharu itu mulai bulan depan. 

Dengar kata, ada pengedar yang sudah membuka tempahan Alza, lebih cepat daripada pengumuman rasmi pihak Perodua sendiri. Jika benar, perkembangan itu pasti kurang disenangi oleh pihak Perodua. 

Apa yang lebih mengejutkan, Alza serba baharu yang didakwa bakal dilancarkan pada bulan depan (Jun) akan ditawarkan pada harga bermula RM69,000. Pelanggan juga boleh memilih di antara tiga varian iaitu X, H dan AV untuk spesifikasi lebih lengkap. 

Alza baru akan dijana oleh enjin 1,500cc dual VVTi 2NR-VE yang menghasilkan 105hp dan tork 139Nm, sedikit berkuasa berbanding Myvi. Enjin dengan nisbah mampatan 11.5:1 tu berupaya memberikan bacaan bahan api sekitar 22km per liter petrol.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Alza dijangka menggunakan platform baharu Daihatsu iaitu DNGA. Platform tersebut digunakan oleh kembarnya yang lain apa lagi kalau bukan Toyota Avanza/Daihatsu Xenia dan Ativa. Platform itu pentin g kerana ia boleh menyokong sistem keselamatan terkini yang ditawarkan oleh Perodua. 

Sebagai sebuah MPV moden, Alza didakwa akan dilengkapi pelbagai ciri menarik seperti brek parkir elektronik, kamera 360 darjah, tiga mode pemanduan (Normal, Eco dan Sport), selain sistem infohibur dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pertama untuk kenderaan keluaran Perodua. 

Apa pun, perincian akan kami kongsikan apabila model ini dilancarkan secara rasmi kelak. 

Google ads
Back to top button