Buletin

PETRONAS SETUJU BAYAR CUKAI RM2 BILION KEPADA SARAWAK. BANGUNKAN INDUSTRI O&G UNTUK KEBAIKAN BERSAMA

Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah mencapai persetujuan dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pendekatan yang terbaik dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil.

“Ia merupakan pendekatan yang mampan bagi membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara terutama dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang tidak menentu pada masa ini,” kata mereka dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Sehubungan itu, Petronas bersetuju untuk menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan Semakan Kehakiman pada 13 Mac 2020. Sementara Kerajaan Negeri Sarawak pula akan menggugurkan kesemua tuntutan dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

Petronas melalui anak-anak syarikatnya yang terlibat akan membuat bayaran penuh ke atas cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap produk petroleum bagi tahun 2019 berjumlah RM2 bilio, iaitu pada kadar lima peratus daripada nilai jualan produk tersebut.

Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas seterusnya bersetuju bahawa cukai jualan ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah State Sales Tax (Taxable Goods and Rate of Tax)(Amendment)(No. 2) Order, 2018 (Order 2018) dikenakan pada kadar yang lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang akan diadakan kelak.

“Kerajaan Negeri Sarawak juga bersetuju bahawa cukai jualan akan terhad ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Order 2018. Namun begitu, kesemua surat cara dan perjanjian yang telah dipersetujui di antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] masih sah dan berkuat-kuasa.

“Petronas juga masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” jelas kenyataan itu lagi.

Justeru, Petronas bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus membangunkan industri minyak dan gas di negeri berkenaan. Petronas juga akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi membolehkan penglibatan aktif negeri itu dalam peluang pelaburan dalam industri minyak dan gas di negeri berkenaan berdasarkan terma komersial.

“Ini termasuklah peluang usaha sama di peringkat syarikat operasi di Sarawak,” kata kenyataan itu.

Bagi memastikan pelaksanaan penyelesaian komersial berkenaan, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan jawatankuasa bersama bagi tujuan ini. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button