Buletin

PETUNJUK JELAS, TOYOTA GR MR2 SEMAKIN HAMPIR JADI KENYATAAN?

Jika ada peminat yang masih menunggu kemunculan semula Toyota MR2, inilah masanya untuk kembali berasa sedikit berharap.

Pengeluar Jepun itu dilihat semakin serius apabila dua nama baharu, GR MR2 dan GR MR-S, telah didaftarkan sebagai cap dagangan, sekali gus menambah bahan bakar kepada spekulasi tentang kelahiran generasi keempat model enjin tengah itu.

Kedua-dua nama tersebut muncul dalam permohonan rasmi yang difailkan masing-masing di Pejabat Paten Jepun dan Pejabat Paten Australia pada hujung November 2025.

Walaupun sebab Toyota mendaftarkan dua nama berbeza masih belum jelas, ada kemungkinan setiap pasaran akan menggunakan nama tersendiri seperti era MR2 terdahulu.

Jika benar model baharu sedang dibangunkan, langkah ini akan mengukuhkan lagi barisan prestasi Gazoo Racing (GR) yang semakin berkembang pesat dengan kehadiran GR Yaris, GR Corolla, GR Supra, GR86 serta model yang dinanti ramai, GR Celica.

Di samping itu, Toyota juga bersiap untuk memperkenalkan GR GT, supercar baharu yang bakal ditayangkan pada 4 Disember.

Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai kelahiran MR2 generasi baharu, kombinasi petunjuk terkini dan kenyataan Toyota sebelum ini memberi gambaran bahawa kerja pembangunan memang sedang berjalan.

Sekiranya jadual tidak terganggu, kemunculannya di jalan raya mungkin boleh dijangka sekitar 2027 atau 2028.

Model MR2 asal diperkenalkan pada 1984 sebagai kereta sport dua tempat duduk dengan konfigurasi enjin tengah pacuan belakang.

Generasi kedua pada 1989 mencipta kultus tersendiri sehingga digelar “Ferrari untuk marhaen” kerana rekabentuk dan karekter pemanduannya.

Generasi ketiga pula tampil pada 1999 sebagai roadster ringan dengan identiti yang berbeza mengikut pasaran; MR-S di Jepun, MR2 Spyder di Amerika Utara dan Australia, serta MR2 Roadster di Eropah.

Selepas pengeluaran tamat pada 2007, khabar angin mengenai kebangkitannya kembali memuncak apabila Toyota menampilkan konsep FT-Se pada Japan Mobility Show 2023.

Walaupun konsep itu serba elektrik, laporan selepas itu mula membayangkan bahawa Toyota mungkin lebih cenderung kepada pendekatan enjin pembakaran dalaman bagi model produksi.

Spekulasi semakin kuat pada Tokyo Auto Salon 2025 apabila Toyota mempamerkan prototaip pembangunan GR Yaris M, sebuah eksperimen enjin 2.0 liter turbo yang diletakkan di tengah serta dipadankan dengan sistem AWD.

Jurutera Toyota sendiri pernah memberi petunjuk bahawa projek itu adalah “MR-sesuatu”, walaupun pembangunan awal menghadapi beberapa cabaran yang kini dilaporkan sudah diselesaikan.

Beberapa media Jepun turut mencadangkan bahawa GR Celica baharu mungkin menggunakan konfigurasi enjin tengah, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada ia akan bertindih dengan MR2. Namun pendaftaran nama GR MR2 dan GR MR-S baru-baru ini menguatkan teori bahawa Toyota sebenarnya mahu mengekalkan kedua-duanya sebagai model berasingan.

Tambahan pula, siri anime GRIP yang diterbitkan Toyota sebelum ini didapati menyelitkan pelbagai ‘petunjuk halus’ seolah-olah menggambarkan kebangkitan sebuah model enjin tengah lagenda.

Jika semua tanda ini kekal seiring, kebangkitan MR2 bukan lagi sekadar angan-angan, ia semakin menghampiri realiti.

Google ads
Back to top button