Buletin

PROFESOR BERSARA JUAL KOLEKSI 5 UNIT TOYOTA MR2 – SEKEJAP JER DAH HABIS DIJUAL

Sebuah kedai yang menjual kenderaan terpakai di Cape Girardeau, Missouri, Amerika Syarikat menerima kejutan apabila seorang lelaki menjual koleksi Toyota MR2 milikinya sekali gus.

Lima unit Toyota MR2 itu dimiliki selama lebih 30 tahun oleh seorang profesor yang sudah bersara dari sebuah kolej. Dia mengumpul MR2 daripada setiap tahun produksi model AW11.

Pengurus Jualan Coad Toyota, Ben Brotheron memberitahu semua kereta itu hadir dalam jarak perbatuan, usia dan originaliti berbeza.

Model paling tua ialah MR2 tahun 1985 bertransmisi manual yang sudah dicat semula. Kereta itu sudah mencatat perbatuan sejauh 333,134km itu pada asalnya berwarna perak.

Model kedua ialah buatan tahun 1986 berwarna merah. Menurut Ben, kereta dengan transmisi manual ini merupakan model kegemaran pemiliknya dan sering dibawa untuk acara pertunjukan.

MR2 tahun 1987 berwarna putih pula bertransmisi automatik dengan perbatuan sejauh 129,522km. Model tahun 1988 dengan satu-satunya enjin supercharged pula hanya mencatat perjalanan sejauh 126,333km.

Koleksi itu disempurnakan oleh MR2 yang berada dalam kondisi paling cantik. Jentera tahun 1989 berwarna biru mutiara dengan transmisi manual sudah berjalan sejauh 45,061km.

Seperti dijangka, sebaik sahaja Ben berkongsi tentang kereta ini di media sosial, dia menerima banyak pertanyaan. Hasilnya, setakat ini empat unit telah terjual, cuma MR2 berwarna kuning masih belum ada pembelinya.

Persoalannya, kenapa pemilik mahu menjual semua MR2 berkenaan walaupun dia sangat sukakan generasi pertama kereta sports Toyota itu? Profesor itu sebenarnya sudah kematian isteri sejak dua tahun lalu dan mendapati usaha untuk menjaga lima unit kereta klasik menjadi semakin sukar.

Kredit foto: Ben Brotherton

GALERI

Google ads
Back to top button