Buletin

KERETA KENA CURI DI TEMPAT PARKIR BERBAYAR? ANDA BOLEH SAMAN SYARIKAT PENGENDALINYA

Jika kita meletak kenderaan di hampir semua tempat parkir berbayar, tak kiralah sama ada di lapangan terbang, hotel, pusat membeli belah atau sebagainya, sering kali kita lihat ada papan tanda yang menyebut “Keselamatan kereta adalah tanggugjawab pemlik” atau ayat-ayat lain yang memberi maksud hampir serupa.

Dalam istilah perundangan ia dikenali sebagai Klausa Pengecualian. Semalam Mahkamah Persekutuan telah membuat satu keputusan yang bersejarah apabila memperakukan ketetapan mahkamah sebelumnya bahawa pengurusan tempat letak kereta boleh disaman atas kecuaian.

Memetik laporan Free Malaysia Today, panel tiga hakim sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta membayar pampasan RM117,000 kepada sebuah syarikat sewa kereta kerana kenderaanya dicuri di tempat parkir kendalian Sunway Parking Services Sdn. Bhd. (Sunway Parking Services).

Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa Sunway Parking Services mempunyai tanggungjawab memenuhi perjanjian apabila sebuah kereta milik Euro Rent A Car Sdn Bhd diletakkan di tempat letak kereta syarikat itu.

Hakim Hanippah Farikullah, Lee Swee Seng, dan Che Mohd Ruzima Ghazali bersetuju syarikat tidak boleh mengelak kebertanggungjawaban dengan menggunakan ‘fasal pengecualian’ dalam perjanjian itu.

Fasal pengecualian itu selalunya tertera pada tiket membawa maksud bahawa syarikat tidak bertanggungjawab atas sebarang kejadian pada kenderaan di tempat letak kereta berkenaan.

“Hujah keputusan ini boleh memberi bantuan dalam memberikan kesedaran pemilik kenderaan dan pengurusan syarikat tempat letak kereta mengenai hak dan kebertanggungjawaban mereka,” kata peguam Euro Rent, Ameerul Aizat Noor Hazlan.

Pada April 25, 2016, Euro Rent menyewa sebuah kereta dengan plat BNS 9066 kepada seorang warga Perancis, Hemici Sofiane.

Dua hari kemudian, Sofiane meletakkan kereta itu di The Pinnacle Sunway di Bandar Sunway, Petaling Jaya kira-kira 2.30 petang. Tetapi kereta itu dicuri pada malamnya.

Rakaman CCTV menunjukkan kenderaan itu dicuri dan keluar daripada parkir berkenaan tanpa tiket. Ini dilakukan oleh pencuri dengan mengekori rapat kereta lain untuk keluar sebelum palang kawalan sempat diturunkan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, mendapati Sofiane membayar yuran tempat letak kereta. Pihak pengurusan tidak boleh bergantung kepada syarat bahawa pemilik kenderaan bertanggungjawab penuh atas kenderaan yang diletakkan itu.

Kes ini sememangnya memberi peringatan kepada syarikat pengendali kawasan parkir agar lebih bertanggungjawab. Malah, hak pengguna seperti kita juga berjaya ditegakkan. – FMT

——————————————————————————————————————

Berikut adalah ulasan seorang pengguna Facebook, Hasif Hassan yang saya percaya seorang peguam mengenai perkara ini (disunting secara minimum).

CORETAN PEGUAM

Klausa Pengecualian.

Saya pernah menulis mengenai perkara ini.  Keputusan kes di Mahkamah Rayuan ini boleh membantu untuk pembaca memahami undang undang yang ada.

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang berpendapat bahawa dalam sesuatu perkhidmatan dan urus niaga kita dengan satu pihak lain, selalu ditulis klausa pengecualian atau exclusion clause. Ia bermaksud satu pihak terutama penyedia perkhidmatan atau urusniaga ingin melepaskan tanggungjawab mereka sekiranya berlaku sesuatu musibah.

Sebagai contoh ialah meletakkan kenderaan di kawasan pakir berbayar seperti di lapangan terbang. Kemudian  ditulis pada papan tanda di kawasan parkir dan di tiket parkir, ‘Pihak syarikat tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kehilangan kepada kereta tuan puan. Kenderaan dan kandungan adalah kepada risiko pemilik sendiri’.

Perlu difahami apakah tujuan kita meletakkan kenderaan di kawasan pakir berbayar di lapang terbang, sekiranya pemandu menaiki pesawat ke mana mana destinasi dan akan mengambil kenderaan mereka setelah pulang kelak?

Apa pula reaksi dan perasaan pemilik kenderaan sekiranya mendapati kenderaan beliau telah hilang.

Pemilik membuat aduan kepada penjaga pakir. Penjaga pakir sekadar menjawab dengan menyatakan syarikat tidak akan bertanggungjawab atas kehilangan berdasarkan klausa dan papan tanda yang tertera klausa pengecualian seperti yang ada di kawasan tersebut.

Soalan yang saya ingin lontarkan ialah bolehkah sebuah syarikat dobi meletakkan syarat dan klausa pada papan tanda kedai atau resit rasmi mereka, ‘Pihak syarikat tidak akan bertanggungjawab jika baju tuan puan tidak bersih setelah dibasuh’. Defeat the purpose bukan?

Soalan yang sama ialah kenapa kita memakir kenderaan di kawasan pakir lapangan terbang berbayar dan bukannya di tepi jalan atau di mana mana tempat lapang berhampiran yang tidak perlu dikenakan bayaran?

Sudah tentu jawapannya ialah supaya kenderaan kita dalam keadaan selamat ditinggalkan. Namun apabila kita memakir kenderaan di parkir berbayar lapangan terbang, ditulis pula syarikat tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kehilangan kenderaan.

Begitu juga apa matlamat baju didobi sekiranya baju berkenaan tidak bersih?

Tentu sekali adalah lebih baik memakir kenderaan di tepi jalan besar yang parkirnya tidak perlu dibayar berbanding memarkir kenderaan di dalam kawasan pakir berbayar jika berlaku kehilangan kenderaan, nasibnya pemilik dan tuan adalah sama, tidak boleh menuntut sebarang ganti rugi.

Jadi yang perlu kita difahami adalah, tidak semudah itu syarikat pengendali perkhidmatan pakir berbayar untuk tidak membayar atau mengelak daripada membayar ganti rugi kepada pemilik kenderaan jika berlaku kehilangan sekiranya wujud kecuaian di pihak syarikat.

Apa yang perlu dilakukan syarikat adalah melaksanakan ‘duty of care’ atau bertanggungjawab menjaga kenderaan yang dipakir agar selamat. Ini kerana matlamat pihak yang memakirkan kenderaan adalah bagi keselamatan kenderaan mereka.

Mungkin bagi pelaksaannya ialah syarikat perlu menyediakan bilangan pengawal dan kekerapan rondaan yang mencukupi. Di samping terdapat lampu yang cukup terutama pada waktu malam atau  kamera litar tertutup dan diawasi oleh pengawal keselamatan bagi menunjukkan duty of care sudah dilaksanakan sebaik mungkin oleh syarikat.

Jika semua langkah itu dilaksanakan oleh syarikat, namun masih berlaku kehilangan kenderaan maka mungkin syarikat mempunyai pembelaan yang baik andainya disaman oleh tuan atau pemilik kenderaan.

Jadi apa yang penting untuk difahami ialah bukan semua kausa pengecualian atau ‘exclusion clause’ dibuat penyedia perkhidmatan dapat menyelamatkan mereka jika berlaku musibah.

Sebaliknya, persoalanya yang perlu dijawab adalah setakat mana ‘duty of care’ telah dipatuhi atau dipenuhi oleh penyedia perkhidmatan bagi mengelakkan malapetaka atau musibah kepada pelanggan mereka.

Kesimpulannya, ]saya percaya pelanggan atau pengguna masih mempunyai hak untuk menyaman syarikat berkenaan berdasarkan peruntukan yang ada, walaupun terdapat klausa pengecualian ini.

Sekian.

Google ads
"
"
Back to top button