Motosikal

KANTOI GUNA PLAT BENTUK BATMAN, LETAK NAMA SENDIRI LAGI DALAM OPS SAMSENG JALANAN

Seorang lelaki ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Persiaran, berdekatan Dataran Nilai di Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad lalu apabila menggunakan nombor pendaftaran berbentuk lambang Batman.

Lelaki berusia 21 tahun itu didapati tidak mempamerkan nombor pendaftaran pada kenderannya, sebaliknya meletakkan nama sendiri pada nombor plat pendaftaran motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, penunggang motosikal berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu selain tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Lelaki berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kenderaannya,” katanya.

Katanya, operasi dijalankan membabitkan dua pegawai dan 20 anggota itu memeriksa 129 motosikal dan sebuah kereta.

“Operasi tiga jam bermula 12.30 tengah malam itu mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan termasuk pengubahsuaian ekzos dan struktur kenderaan tanpa kebenaran.

“Sejumlah 106 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 23 kenderaan disita serta dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Fazley berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan yang mana boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam. – HM

Google ads
Back to top button