
MOTOSIKAL PALING BANYAK GUNA NOMBOR PLAT FANCY. 226,142 SAMAN TELAH DIKELUARKAN
Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, penunggang motosikal dikesan sebagai kumpulan paling ramai menggunakan nombor plat fancy dengan sebanyak 226,142 saman dikeluarkan kepada mereka.
Sementara sebanyak 118,372 saman lagi dikeluarkan kepada pemilik kereta diikuti pemandu 4WD (12,632), lori (5,081) dan van (3,047) serta lain-lain kenderaan (136).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan bermula tahun 2019 hingga 15 Disember 2020 adalah sebanyak 365,410.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias memberitahu daripada jumlah itu, sebanyak 183,509 saman dikeluarkan sejak awal tahun ini sehingga minggu lalu.
Menurut beliau, statistik itu menunjukkan pemilik kenderaan mengambil mudah isu tersebut sedangkan ia adalah kesalahan yang paling mudah untuk dihindari.
“Mana-mana pemilik kenderaan sama sekali tidak akan terlepas daripada tindakan saman sekiranya mereka didapati menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi diluluskan kerajaan,’’ tegas Azisman.
Pada 15 Disember lalu, polis Johor dilapor akan memburu semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi atau fancy tanpa diskriminasi termasuk pegawai dan anggota polis.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata sebanyak 9,985 saman dikeluarkan di negeri ini bagi kesalahan nombor pendaftaran fancy bermula Januari hingga semalam.
Jika sabit kesalahan, pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 ( 4) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dibaca bersama Seksyen 119 akta yang sama.
Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara enam bulan manakala kesalahan kedua, denda tidak lebih RM4,000 dan penjara 12 bulan. – Utusan Malaysia, MotoMalaya