Buletin

PORSCHE MALAYSIA, KOLEJ TOC TAWAR PROGRAM PTAAP. LAHIR MODAL INSAN AUTOMOTIF TEMPATAN

Porsche Malaysia melalui Sime Darby Auto Performance memperkenalkan program latihan teknikal Porsche Training Academy-Apprentice Programme (PTAAP) dengan kerjasama kolej automotif The Otomotif College (TOC).

Program PTAAP bertujuan melahirkan bakat modal insan teknikal masa hadapan di dalam Malaysia.

Ia sekali gus dapat memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan berkualiti tinggi diperlukan Porsche Centre di seluruh negara.

Sukatan pelajaran PTAAP merangkumi kelas pembelajaran serta kurikulum bengkel selama dua tahun dan latihan industri wajib di mana-mana Porsche Centre selama satu tahun.

Selain itu, setiap para pelatih program akan menggunakan modul spesifik Porsche International Zertifizierter Porsche Techniker(ZPT) bagi mendalami lebih meluas berhubung jentera berprestasi tinggi keluaran Zuffenhausen.

Setelah sesi pembelajaran dan latihan berakhir, markah penilaian secara keseluruhan akan diberikan, dan pelajar yang berjaya memperoleh skor tertinggi akan dianugerahkan Porsche Certified Technician Bronze Level, beserta sijil program TOC sama ada Diploma dalam Teknologi Automotif atau Sarjana Kursus Juruteknik.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter, berkata program intensif selama tiga tahun itu mampu menawarkan peluang kerjaya yang menarik, khususnya bagi syarikat kereta sports Porsche yang berterusan membawakan inovasi yang seiring dengan tradisi.

“Program ini direka untuk individu memiliki tahap motivasi tinggi, minat terhadap kereta sport dan teknologi, serta mereka yang mahukan kerjaya menarik.

“Ia membolehkan kami untuk terus berada di hadapan landasan transformasi industri, khususnya selepas pengesahan program pemasangan kenderaan secara tempatan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TOC, Datuk Iqmal Shafiq, berkata program PTAAP adalah selari visi kolej dalam melahirkan golongan profesional automotif masa depan dengan sikap, kemahiran dan pengetahuan untuk pertumbuhan kerjaya mereka.

“Para pelajar kami akan didedahkan dengan era baharu elektromobiliti, khususnya selepas pelancaran model elektrik Porsche Taycan di Malaysia.

“Kerjasama dengan SDAP ini merupakan satu langkah yang tepat bagi TOC untuk menawarkan laluan kerjaya yang lebih bermanfaat kepada para pelajar kami,” ujarnya.

Pendaftaran pertama program PTAAP selama tiga tahun itu akan dibuka bermula Februari tahun hadapan.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web TOC di www.toc.edu.my, talian 03-7960 8833 atau talian Whatsapp rasmi di +6011-1668 0281.

Google ads
Back to top button