Buletin

VOLVO XC60 2022. KINI LEBIH PINTAR DENGAN GOOGLE SERVICES. BERMULA RM325K

Volvo Car Malaysia baru-baru ini melancarkan satu lagi model yang telah dielektrifikasi iaitu Volvo XC0 2022 ke pasaran tempatan. Turut dikenali sebagai “the Smarter XC60”, SUV itu hadir dengan penambahan sistem keselamatan, rekaan luaran lebih segar dan integrasi teknologi canggih dengan Google Services.

Volvo XC60 merupakan hasil kerjasama di antara Volvo Cars dan Google untuk menawarkan sistem infohibur yang lengkap dengan Google Services binaan dalam. Model facelift berkenaan tampil dengan Digital Services Package yang terdiri daripada sistem arahan suara Google Assistant.

Ia membolehkan pemandu mengawal banyak aplikasi di dalam kereta seperti Google Maps dan lebih fokus ketika memandu.

“The Smarter XC60 dengan Google Services menawarkan pengalaman infohibur yang lebih intuitif ke dalam industri automotif,” kata Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump.

Volvo XC60 facelift tampil dengan bampar hadapan, warna dan gril rekaan baharu. Varian Recharge T8 dipasang dengan rim aloi enam jejari baharu bersaiz 19 inci berwarna hitam serta sistem bunyi Bowers and Wilkins.

SUV itu juga didatangkan dengan beberapa mode pemanduan termasuklah Power dan elektrik sepenuhnya. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0L turbo dan supercharger yang dipadankan bersama kotak gear automatik 8-kelajuan.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa kuasa mencecah  407hp dan tork 640Nm serta 87hp dan tork 240Nm daripada bateri. Rangkaian kuasa itu membolekannya memecut dari 0-100km/j dalam masa 5.3 saat dengan penjimatan bahan api sekitar 2.2 liter bagi setiap 100km.

Seperti biasa, Volvo XC60 dilengkapi sistem keselamatan aktif terkini Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) dengan ciri Collision Avoidance, Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation, Cross Traffic Alert dengan brek automatik, Blind Spot Information System serta kamera keliling.

Satu lagi ciri penting ialah aplikasi Volvo Car dan Connected Services. Aplikasi tersebut membolehkan anda mengawal beberapa ciri seperti menghidupkan enjin dan pendingin hawa, memeriksa status kereta, membuka pintu dan sebagainya dari jauh.

Ditawarkan pada harga RM325,449 seunit, Volvo XC60 sudah boleh dilihat di semua pengedar  sah Volvo dan ditempah melalui laman web Volvo Car Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button