Buletin

PORSCHE MALAYSIA LANCAR MACAN GENERASI BAHARU. 440PS, BERMULA RM433K

Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru-baru ini melancarkan generasi terbaharu Macan ke pasaran tempatan. 

Macan 2022 hadir dengan tiga pilihan varian iaitu Macan, Macan S dan Macan GTS. Ia sudah boleh ditempah pada harga bermula RM433,154 untuk Macan, RM623,593 (Macan S) dan RM786,232 bagi Macan GTS. 

Dari segi luaran, Macam tampil dengan rekaan bahagian hadapan 3D baharu. Ciri sporty turut diserlahkan pada bahagian belakang dengan peresap udara dan lampu LED yang melintang dari kiri ke kanan. Semua varian menerima lampu utama  LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan cermin sisi Sport Design sebagai ciri standard. 

Anda boleh memilih daripada 14 warna, termasuklah hijau, biru dan oren metalik untuk varian Macan GTS. Rim lebih besar iaitu 19 inci juga ditawarkan sebagai standard. 

SUV kompak tersebut dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang telah dibangunkan semula. Ia mampu menjana kuasa 265PS dan tork 400Nm, naik 13PS dan 30Nm berbanding enjin pada generasi sebelumnya.

Varian Macan S pula menggunakan enjin baharu 2.9 liter V6 biturbo berkuasa 380PS yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 4.6 saat dengan kelajuan maksimum 259km/j. 

Macan GTS juga dipasang dengan enjin sama, tetapi kuasanya ditingkatkan menjadi 440PS. Catatan masa untuk pecutan 0-100km/j cuma 4.3 saat sahaja. 

Dilengkapi pakej Sport Chrono, SUV itu menawarkan kuasa seperti jentera Porsche GTS yang lain dengan top speed mencecah 282km/j. Ketiga-tiga enjin itu dipadankan dengan kotak gear klac berkembar PDK Porsche tujuh kelajuan

Prestasi pemanduan Macan dipertingkatkan dengan penggunaan chasis yang telah dinaik taraf. Sistem pacuan semua roda Porsche Traction Management (PTM) memastikan agihan kuasa yang efisien kepada setiap roda dan cengkaman terbaik di atas apa jua permukaan jalan. 

Porsche Active Suspension Management (PASM) kini juga hadir sebagai ciri standard dalam Pakej Premium. 

Ruang kabin Macan diserlahkan dengan beberapa komponen yang diambil daripada model 911 Carrera. Apa yang paling menarik perhatian pastinya papan pemukanya yang moden. 

Pemandu boleh mengawal pelbagai fungsi kenderaan menerusi sistem Porsche Communication Management pada skrin sentuh HD penuh bersaiz 10.9 inci atau arahan suara. Jentera itu juga dipasang dengan stereng sports yang diambil daripada model 911. 

Ciri-ciri kemudahan lain yang didatangkan dalam Pakej Premium untuk varian Macan dan Macan S tarmasuklah tempat duduk pemandu dengan 14 tetapan elektrik, Power Steering Plus, Park Assist dan sistem bunyi BOSE. 

Macan 2022 kini sudah boleh ditempah di semua bilik pameran sah Porsche. 

GALERI

Google ads
Back to top button