PORSCHE 911 GT3 GEN KE-7 KINI DI MALAYSIA. ENJIN 4.0 LITER N/A, BERMULA RM1.8 JUTA
Pada tahun 1999, Porsche memperkenalkan model 911 GT3 pertama daripada generasi 996 sebagai sebuah model homologasi untuk perlumbaan FIA GT3 Cup. Selepas dua dekad dan tujuh edisi, Porsche 911 GT3 serba baharu telah memindahkan teknologi perlumbaan ke dalam sebuah model produksi yang lebih sistematik.
Hasilnya, ia menjadi sebuah jentera yang seronok dipandu, tepat dan berprestasi tinggi, sempurna untuk dipandu setiap hari dan di litar. Model baharu itu juga mencatat masa 17 saat lebih pantas berbanding versi terdahulu di litar Nürburgring Nordschleife.
Hari ini, jentera berkenaan telah dilancarkan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Sudah memasuki generasi ketujuh, 911 GT3 dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa enam silinder bersesaran 4.0 liter yang boleh rev sehingga 9,000rpm.
Enjin yang mampu menjana kuasa mencecah 510PS dan tork 470Nm itu dipadankan dengan kotak gear PDK 7-kelajuan. Ia boleh mencatat kelajuan 320km/j sekali gus menjadikannya lebih laju berbanding 911 GT3 RS sebelum ini.
Pelanggan juga boleh memilih 911 GT3 dengan kotak gear manual GT 6-kelajuan atau GT3 Touring Package tanpa kos tambahan.
Porsche 911 GT3 dan 911 GT3 dengan Touring Package kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia pada harga bermula RM1,766,244 seunit.
Kereta lumba GT yang boleh dipandu di jalan raya biasa itu menggunakan suspensi hadapan double wishbone yang pertama kali diambil daripada jentera lumba 911 RSR Le-Mans. Suspensi itu tampil dengan geometri dan kaliberasi khas untuk memastikannya melekat di atas litar.
Aspek aerodinamik dipertingkatkan menerusi wing belakang dan diffuser yang diambil daripada 911 RSR. Ia memberikan 50 peratus lebih downforce tanpa menjejaskan aspek pekali seretan. Wing belakang yang boleh dilaras secara manual dan diffuser itu boleh ditala untuk meningkatkan tahap downforce sehingga 150 peratus bagi membantu ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Jentera ini hanya seberat 1,418kg (transmisi manual) dan 1,418kg (PDK). Ini kerana ia menggunakan banyak material ringan iaitu carbon-fibre reinforced plastic (CFRP) pada bonet hadapan dan wing belakang. Tingkap pula dipasang dengan kaca ringan dan bateri starter kecil LiFePO4. Penggunaan rim tempa ringan dan sistem ekzos sport juga membantu mengurangkan berat sehingga 10kg.
911 GT3 dengan Touring Package
Hadir dengan kotak gear sports GT 6-kelajuan manual sebagai ciri standard. Selain itu, perbezaan ketara ialah ketiadaan wing belakang yang digantikan dengan spoiler automatik.
Perbezaan lain ialah kemasan jalur kelabu yang diperbuat daripada aluminium berkilat pada bahagian sisi. Manakala bahagian hadapan menggunakan cat badan. Lid gril belakang pula dilekatkan dengan logo GT3 Touring berwarna perak.
Hampir semua peralatan tambahan yang ditawarkan untuk 911 GT3 boleh dipadankan dengan Touring Package. Ini termasuklah warna luaran dan rim, lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS), Porsche Ceramic Composite Brakes (PCCB), variasi tempat duduk, sistem audio serta pakej Sport Chrono.
Ruang Kabin
Kokpit 11 GT3 diserlahkan dengan rekaan generasi 992 terkini, tetapi dibezakan dengan kluster instrumen yang menampilkan rev counter serta dua paparan bersaiz 7.0 inci. Ciri skrin trek membolehkan pemandu meringkaskan paparan digital maklumat penting seperti tekanan tayarm tekanan minyak, suhu minyak dan takat bahan api dengan hanya melalui satu sentuhan sahaja.
Ia juga mempunyai ciri bantuan shift dengan bar berwarna ke kiri dan ke kanan rev counter dan lampu shift untuk membantu masa penukaran gear yang lebih tepat.
Sama seperti semua model 911 generasi 992, sistem infohibur di dalam 911 GT3 terdiri daripada skrin sentuh 10.9 inci. Ia dilengkapi sistem Porsche Communication Management (PCM) terkini dengan navigasi dalam talian dan Porsche Connect Plus.
Sistem tersebut menyokong aplikasi Porsche Track Precision App yang membantu pemandu memaksimumkan sesi di litar dan menambah baik catatan masa melalui data pemanduan terperinci seperti paparan secara langsung serta analisis video.
Berikutan permintaan yang tinggi ke atas peralatan custom dalam kalangan pembeli model Porsche GT, rangkaian produk Porsche Exclusive Manufaktur telah ditambah dengan opsyen khusus buat GT3. Ia merangkumi bumbung gentian karbon, perumah cermin sisi karbon, perumah lampu matrix LED digelapkan dan lampu belakang tanpa komponen berwarna merah.
Pilihan rim berwarna merah atau biru membolehkan pemilik meningkatkan lagi efek visual jentera ini. Untuk ruang dalaman, peralatan seperti dial untuk rev counter, jam randik Sport Chrono dan tali pinggang keledar boleh diubah suai mengikut apa jua warna yang dimahukan.
Bagi memberi lebih eksklusiviti, Porsche menawarkan program ‘Paint to Sample’ bagi personalisasi luaran dengan lebih 105 warna klasik dan bespoke yang sedia untuk dipilih. 911 GT3 kini sudah boleh ditempah di Porsche Centre di seluruh negara.
- BACA: PORSCHE 356 EV, DENGAN GEAR MANUAL! TAPI TAK MURAH
- BACA: PORSCHE CAYENNE 2022 JADI MODEL PERTAMA DIPASANG DI KULIM. HARGA BERMULA RM550,000
- BACA: PORSCHE CARRERA GT, SUPERCAR PALING LIAR, PALING BAHAYA. TIADA ESC
- BACA: PORSCHE 924, MODEL PALING KONTROVERSI. ENJIN 4 SILINDER, GUNA TORSION BEAM
GALERI