Modifikasi

PORSCHE 356 EV, DENGAN GEAR MANUAL! TAPI TAK MURAH

Perodua baru melancarkan model naiktaraf Myvi 2022 dengan membelanjakan sekitar RM 50 juta bagi tujuan tersebut melalui kajian dan pembangunan. Tapi bagi model terbaru ini varian manual tidak lagi dihasilkan dan semua 5 varian yang dijual akan digantikan dengan transmisi DCVT.

Ia adalah hakikat yang perlu kita terima bahawa transmisi manual mungkin satu hari nanti tinggal kenangan sahaja apatah lagi dengan arus teknologi terkini yang menyaksikan model kereta elektrik tidak lagi menggunakan sistem transmisi berganda tapi hanya menggunakan transmisi tunggal.

Walaupun kereta elektrik adalah lebih laju di garisan lurus walaupun lebih berat disebabkan bateri, tapi ia masih tidak boleh menggantikan keterujaan pemandu ketika menukar gear manual sebelum dan selepas selekoh. Kereta manual lebih beremosi bila dipandu di laluan begini

Menyedari kelompongan ini, Electrogenic sebuah firma kejuruteraan automotif yang mengkhususkan kepada penukaran kereta berkuasa enjin pembakaran dalam kepada kereta elektrik telah lama melibatkan diri dalam industri conversion ini. Volkswagen Beetle, Rolls Royce Silver Shadow dan terbaru sebuah Porsche 356 telah dibedah bagi menggantikan enjin dengan sistem EV

Bagi mengekalkan keaslian citarasa pemanduan, Electrogenic mengekalkan transmisi manual yang asal termasuklah pada Porsche 356 tadi dimana transmisi asal menggunakan 4 kelajuan manual dengan motor elektrik dipasang pada gandar belakang

Motor yang dipasang terus pada flywheel tadi menghasilkan 107 kuasa kuda dan 235Nm tork dengan jarak perjalanan sekitar 225km untuk satu pengecasan penuh. Disebabkan motor dipasang pada flywheel, klac plate dan pressure plate maka anda boleh Rev kan saja motor elektrik ini sebelum memasukkan gear.

Jangan risau kalau tersalah tekan klac, motor elektrik ini tidak akan mati seperti enjin. Jika anda malas nak tukar gear pun tak mengapa kerana tork sebesar 235Nm ini sudah cukup untuk anda gunakan pada gear 3 sepanjang masa. Masalah utama bukan masalah teknikal tapi kos penukaran yang agak mahal

Bagi tujuan penukaran enjin kepada motor elektrik, sistem kawalan dan juga bateri, Electrogenic akan meminta bayaran sekitar RM 170,000 bergantung pada jenis motor dan bateri yang diminta oleh pelanggan. Fuh boleh tahan harga dia, boleh beli Nissan Leaf ataupun Hyundai Kona EV pada harga yang diminta

Google ads
Back to top button