Buletin

VPCM PREBIU GOLF R-LINE DAN GTI MK8 CKD DI MALAYSIA. GUNA TRANSMISI 8AT AISIN?

Tanpa dijangka, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mendedahkan Golf generasi kelapan dengan berlatarbelakangkan sawah padi yang indah di Sekinchan, Selangor semalam.

Seperti yang pernah tular di media sosial sebelum ini, Golf MK8 merupakan produk pemasangan tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Jadi, kemungkinan harganya akan menjadi lebih rendah berbanding model terdahulu yang dibawa masuk secara CBU memang ada.

Cuma, VPCM masih berahsia tentang harga. Jadi, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi daripada mereka nanti.

Golf yang dipamerkan itu hadir dalam dua varian iaitu R-Line dan GTI. Jika dilihat, penampilan luarannya sudah jauh berbeza berbanding model generasi sebelumnya. Lampu hadapan LED nipis itu sepadukan bersama satu garis lampu posisi yang merentangi wajahnya.

Namun, memetik laporan daripada rakan media kami Automachi, antara perubahan paling besar yang diterima oleh Golf MK8 ialah jentera tersebut menggunakan transmisi automatik 8-kelajuan daripada Aisin.

Kotak gear yang menggantikan transmisi DSG itu dipadankan dengan kotak gear  1.4L TSI berkuasa 150PS dan tork 250Nm. Untuk makluman, kotak gear Aisin yang ada pada varian R-Line turut digunakan oleh Golf bagi pasaran Australia.

Bagaimana prestasinya, akan kami laporkan apabila berpeluang untuk memandu ujinya nanti.

Varian GTI yang dipasang dengan enjin turbo 2.0L TSI pula masih menggunakan kotak gear klac berkembar (DSG) basah tujuh kelajuan. Enjin berkenaan mampu menjana kuasa maksimum 241PS dan tork 370Nm.

Masuk ke bahagian kabin, Golf kini hadir dengan bentangan paparan instrumen digital sepenuhnya bersama grafik dan warna yang cantik. Papan pemuka dihuni oleh skrin infohibur yang nampaknya lebih besar daripada model terdahulu.

Buat masa sekarang, setakat itu sahaja yang dapat kami kongsikan kepada anda. So stay tuned dengan Mekanika untuk maklumat lanjut mengenai Golf MK8!  

GALERI

Google ads
Back to top button