Buletin

PUSAT 4S PORSCHE JOHOR BAHRU RASMI DIBUKA. PELABURAN RM28 JUTA, RAKAN KONGSI PORSCHE KLASIK BERTAULIAH PERTAMA DI MALAYSIA

Porsche Malaysia, yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance meraikan pembukaan rasmi Pusat Porsche Johor Bahru pada 1 Disember 2022. Kemudahan itu hadir dengan ciri-ciri terkini yang membezakannya daripada pusat jualan Porsche lain di Malaysia.

Pusat Porsche Johor Bahru yang dibina dengan pelaburan melebihi RM28 juta itu terletak di Danga Bay. Kemudahan tiga tingkat berkeluasan 5,412 meter persegi tersebut memperkenalkan konsep seni bina korporat “Destination Porsche”. Ia menitikberatkan pengalaman jenama yang hebat, mewujudkan ruang berkumpul bagi peminat-peminat Porsche dan dapat menarik minat pelanggan baharu.

“Tahun ini merupakan tahun yang cukup hebat dalam usaha sama kami dengan Porsche di Malaysia. Pada awal tahun ini, kami melancarkan Cayenne pertama buatan tempatan yang dipasang di kilang kami di Kedah dan kini pembukaan Pusat Porsche 4S Malaysia pertama di Johor Bahru.

“Kami menyaksikan pertumbuhan yang kukuh untuk jenama Porsche di Malaysia. Elemen unik pengedaran baharu ini membentuk sebahagian daripada pelan hala tuju kami untuk menyediakan tahap pengalaman pelanggan bertaraf dunia untuk Porsche dan Sime Darby Motors,” kata Dato’ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Jeffri Salim Davidson.

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Asia Pasifik, Hannes Ruoff, menzahirkan sentimen positif yang sama pada majlis pelancaran tersebut. 

“Pelancaran kereta buatan tempatan Cayenne jelas membuktikan keyakinan kami terhadap potensi rantau ASEAN dan menyerlahkan hubungan kerjasama yang terjalin antara kami dengan Sime Darby. 

“Kami amat berbangga kerana dapat memperkenalkan pengalaman jenama yang lebih unggul kepada peminat-peminat Porsche melalui kemudahan canggih ini, dan pada masa yang sama meningkatkan pengalaman pemilikan Porsche dengan tawaran perkhidmatan yang lebih luas berasaskan cita rasa individu.”

Seni bina korporat “Destination Porsche” baharu di Malaysia

Mencerminkan semangat perintis Porsche melalui penambahbaikan dan inovasi yang berterusan, muka bangunan Pusat Porsche Johor Bahru baharu menampilkan ciri-ciri kemewahan dan mesra pengunjung.  Muka bangunan ini juga direka supaya inspirasi ruang dalaman baharu ini boleh dihargai dari luar bangunan.

Di ruang dalaman, tumpuan diberikan kepada pengalaman jenama yang berteraskan pelanggan. Ia dizahirkan daripada konsep seni bina “Destination Porsche” terkini. Ia melibatkan penampilan ruangan modular yang boleh disepadukan dan diubahsuai dengan mudah. 

Modul-modul di dalam Pusat Porsche Johor Bahru merangkumi Highlight display, E-Performance, Porsche Classic, Fitting Lounge, Delivery Bay and Certified Pre-Owned car. Ruang istirehat baharu menyediakan tempat perhimpunan sosial yang kondusif, sambil menikmati persekitaran yang selesa untuk pelanggan dan komuniti Porsche.

Selaras dengan prinsip pengalaman jenama Porsche yang dinamik, Pusat Porsche Johor Bahru menawarkan simulator perlumbaan e-sukan bagi para peminat kereta sport untuk mengasah kemahiran pemanduan sambil menyemarakkan lagi minat mereka terhadap jenama tersebut. 

Inovasi dan kelestarian dalam seni bina moden

Pusat pengedaran baharu menampilkan seni bina yang membolehkan ruang dalaman disinari cahaya semula jadi dari luar. Ini dapat mengurangkan bilangan lampu yang diperlukan dan juga menjimatkan penggunaan elektrik.

Bagi menyokong komitmen Porsche terhadap mobiliti masa hadapan, Pusat Porsche Johor Bahru turut dilengkapi stesen pengecasan Arus Terus (DC) berprestasi tinggi 175 kW dan stesen pengecasan Arus Ulang-alik (AC) 22 kW. 

Kemudahan itu disediakan oleh Sime Darby Auto Performance secara eksklusif kepada semua pemilik Porsche Taycan untuk kemudahan pengecasan yang lebih cekap.

Lokasi kemudahan yang strategik ini membenarkan pengalaman pemanduan kenderaan elektrik yang lebih lancar. Ini kerana stesen pengecasan pengedar Porsche seluruh dunia saling berhubung dengan rangkaian pengecasan berprestasi tinggi yang lebih luas, terhasil daripada kerjasama Porsche dengan Shell. 

Dengan adanya rangkaian pengecasan berprestasi tinggi ini, Porsche membolehkan perjalanan jarak jauh merentas negeri dilakukan tanpa pelepasan karbon dan mengurangkan masa berhenti untuk pengecasan.

Merintis kemudahan 4S dengan perkhidmatan badan dan cat baharu

Pusat Porsche Johor Bahru merupakan Pusat Porsche 4S yang pertama di Malaysia. Bahagian  Jualan, Servis, dan Alat Ganti disepadukan dengan Badan & Cat (Body & Paint) yang telah diperakui Porsche untuk melakukan baik pulih cat berkualiti tinggi dan pembaikan badan kereta. 

Kesan penggunaan dan kehausan boleh diminimumkan atau dipulihkan kepada keadaan seperti sedia kala dengan penggunaan teknik dan bahan pembaikan rekonstruktif termaju.

Bengkel servis Pusat Porsche Johor Bahru menampilkan sembilan ruang servis yang dilengkapi teknologi dan peralatan terkini, juruteknik bertauliah dan mahir, serta alat ganti Porsche tulen untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan.

Piawaian berkualiti bertaraf dunia adalah terjamin bagi proses pembaikan badan kereta dan kerja cat. Hanya cat berasaskan air yang dirumus oleh Porsche AG digunakan di bengkel badan dan cat ini. Ini dapat mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar dan menambah baik persekitaran kerja bagi juruteknik di bahagian tersebut.

Ruang semburan cat dilengkapi sistem pengudaraan dan penapisan yang direka khusus untuk mengurangkan zarah bawaan udara dan mengawal kelembapan. Ia ditetapkan pada suhu yang ideal untuk memastikan keadaan mengecat yang optimum. Dalam proses pengeringan, pemanas inframerah mesra alam digunakan untuk meningkatkan suhu udara ke 65°C bagi memperolehi hasil yang tahan lama mengikut piawaian Porsche AG.

“Perkhidmatan selepas jualan merupakan salah satu keutamaan kami dalam memenuhi permintaan para pemilik Porsche yang semakin meningkat di Malaysia. Dengan adanya kemudahan yang serba lengkap, para pemilik boleh terus menikmati kereta Porsche mereka, sementara kami menjaga kereta sport idaman mereka.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Rakan Kongsi Porsche Klasik pertama yang diperakui di Malaysia untuk memberi nafas baharu kepada kereta Klasik ini dan seterusnya memastikan kereta berstatus legenda ini dapat terus kekal di jalan raya untuk jangka masa yang panjang,” sambung Encik Christopher Hunter.

Rakan Kongsi Porsche Klasik Bertauliah pertama Malaysia

Pusat Porsche Johor Bahru juga merupakan Rakan Kongsi Porsche Klasik yang pertama di Malaysia yang mempunyai pengetahuan pakar dalam khidmat nasihat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih. 

Sebagai Rakan Kongsi Porsche Klasik, pusat ini mempunyai pelbagai faedah dan peluang baharu termasuk sokongan teknikal, akses secara langsung dan interaksi dengan Porsche AG Klasik serta mendapatkan alat ganti kenderaan klasik yang sudah tiada di pasaran melalui proses perolehan khas.

Dengan adanya pengetahuan yang mendalam tentang setiap kenderaan Porsche, penggunaan alat ganti tulen dan tahap dedikasi yang tinggi, Rakan Kongsi Porsche Klasik mampu memaksimumkan hayat perkhidmatan kenderaan. 

Ditawarkan dengan servis yang lengkap dan profesional, para pemilik kenderaan Porsche Klasik menjadikan Rakan Kongsi Porsche Klasik pilihan utama mereka – satu pakar dalam tradisi, daya tarikan dan kualiti. 

Sebaik sahaja tiba di kemudahan tersebut, para pengunjung dan pemilik kereta Porsche Klasik akan dialu-alukan dengan bendera Porsche Klasik. Modul Klasik di bilik pameran tersebut mempamerkan model warisan daripada jenama kereta sport Jerman yang ikonik ini serta memberikan maklumat atau meningkatkan lagi pengalaman jenama bagi kereta bertema warisan untuk para pelanggan dan juga peminat.

Para penggemar Porsche boleh menikmati rangkaian perkhidmatan yang lengkap daripada Porsche Klasik di Pusat Porsche Johor Bahru.

Para jurulatih dan juruteknik bertauliah Porsche AG bersedia untuk memberikan perkhidmatan mengikut keperluan pelanggan kepada para pemilik Porsche Klasik seperti menyediakan pilihan penyelenggaraan terbaik, atau perkhidmatan baik pulih yang diluluskan oleh kilang untuk kereta sport klasik kesayangan mereka. 

GALERI

Google ads
Back to top button