Buletin

PORSCHE 911 TYPE 964 CARRERA 2 CONVERTIBLE MILIK MARADONA BAKAL DILELONG. BIDAAN BERMULA RM735K

Peminat kereta dan bola sepak kini boleh tersenyum kerana sebuah Porsche 911 Type 964 Carera 2 Convertible Works Turbo Look tahun 1992 milik Diego Maradona bakal dilelong Mac depan. 

Ini merupakan kali pertama kereta tersebut dibuka untuk lelongan berikutan kematian bintang bola sepak itu pada hujung tahun lalu. Model 911 itu diserahkan kepada Maradona apabila dia berpindah ke Seville kerana gagal dalam ujian dadah untuk bermain di liga Itali. 

Sebaik sahaja tiba di Sepanyol, Maradona terus menyewa sebuah Villa dan menempah kereta berkenaan.

Hanya 1,200 unit  Porsche 911 Type 964 Carera 2 Convertible Works Turbo Look dihasilkan. Ia menggunakan enjin flat 6 bersesaran 3.6 liter yang mampu menjana kuasa 250hp.

Maradona pernah ditahan polis ketika memandu kereta itu melebihi had laju dan melanggar lampu merah. Penghijrahan Maradona di Sepanyol tidak berjaya.

Dia hanya berada di sana selama satu musim dan menjual kereta tersebut kepada seseorang di Majorca. 

Sejak itu, kereta berkenaan telah beberapa kali bertukar tangan dengan pemilik terakhir membelinya pada tahun 2016.

Mencatat perbatuan mencecah 120,700km, kereta itu bagaimanapun masih berada dalam keadaan baik dan original. 

“Kami berbesar hati untuk mempersembahkan model 911 tahun 1990-an yang memiliki sejarah menarik. Ia pasti menarik minat pengumpul di seluruh dunia,” kata pengurus lelongan Bonhams Eropean, Paul Darvill. 

Bonhams menjangka kereta itu mampu mencatat bidaan di antara €150,000 (RM735,000) hingga €200,000 (RM980,000) apabila dilelong nanti. 

GALERI

Google ads
Back to top button