Motosikal

INILAH HARLEY DAVIDSON FAT BOB KUSTOM LEGENDA MARADONA. TENGOK PUN BOLEH AGAK PEMILIKNYA

Figura bernama Diego Maradona merupakan antara legenda yang memberi kesan mendalam terhadap dunia  bola sepak.

Beliau yang meninggal dunia pada November tahun lalu memiliki sebuah motosikal Harley Davidson Fat Bob dikustom khusus untuk bintang dikenali sebagai Pibe de Oro ataupun Golden Boy itu.

Kisah motosikal itu muncul semula pada tahun ini apabila orang ramai mula mencari harta peninggalan Maradona selepas beliau menghembuskan nafas terakhir.

Menariknya tentang motosikal kustom tersebut, pembikinan jentera itu turut difilemkan dalam dokumentari pendek selama 30 minit.

Dokumentari Motorcycle for Maradona merupakan arahan Alexander Komisarchuk malah ditayangkan di beberapa festival semasa dunia berdepan pandemik.

Mungkin ramai yang ingin mengetahui bagaimana, bintang dunia tersebut memiliki jentera itu.

Pada tahun 2019, Maradona dinamakan sebagai Presiden Kehormat kelab bola sepak di Belarus, FC Dinamo Brest oleh salah seorang pemiliknya, Alexander Zaitsev.

Bagaimanapun, pada tahun itu, Maradona menjalani pembedahan lutut.

Zaitsev ingin memberi sesuatu istimewa kepada Maradona dengan menghadiahkan sebuah motosikal kustom Harley Davidson Fat Bob.

Rekaan motosikal kustom berkenaan cukup mencerminkan pemiliknya, dengan menampilkan sentuhan warna kebanggaan bendera Argentina.

Di bahagian hadapan pula, ia dilengkapi rim bola emas sesuai dengan nama jolokan Maradona sebagai Golden Boy.

Ia sudah pasti menjadi salah satu ‘piala’ bernilai dimiliki bekas pemain bola sepak yang pernah mengoncang dunia dengan jaringan gol Hand of God menentang pasukan England pada suku akhir Piala Dunia 1986, Mexico.

Tidak dapat dipastikan apa yang akan terjadi kepada jentera kustom tersebut selepas pemergian Maradona. Begitupun, ia akan menjadi koleksi bernilai bagi peminat jentera Harley Davidson. – agensi

Google ads
Back to top button