
BINTANG BAYERN MUNICH DIDENDA RM273,000 KERANA PANDU MCLAREN KE SESI LATIHAN
Bintang Bayern Munich, Kingsley Coman dilaporkan didenda sebanyak £50,000 (RM273,00) kerana memandu McLaren 570S Spider ke padang latihan.
Coman, 23, menjadi pemain terkini yang dikenakan denda daripada kelab bola sepak ternama dunia itu. Terdahulu, pemain Philippe Coutinho dan Niklas Sule turut didenda kerana memandu Mercedes-Benz dan Ferrari.
Bayern Munich mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Audi. Pengeluar kereta Jerman itu telah menyediakan setiap pasukan dengan kereta baharu sejak tahun 2002 lagi.
Audi menjadi pemegang saham kelab berkenaan pada tahun yang sama. Sebagai sebahagian daripada perjanjian tajaan, setiap pemain mesti memandu kereta Audi untuk pergi balik ke pusat latihan di Sabener Strasse.

Pengarah sukannya, Hasan Salihamidzic sebelum ini sudah banyak kali memberi amaran kepada pemain supaya jangan melanggar peraturan terbabit. Bagaimanapun, pemain dibenarkan memandu kereta daripada jenama kumpulan Volkswagen. Jadi, Bentley dan Porsche tiada masalah.
Coman memberitahu dia memandu McLaren kerana cermin sisi kereta Audi miliknya patah.
“Saya ingin memohon maaf kepada kelab dan Audi kerana tidak memandu kereta syarikat ketika pergi latihan. Sebabnya, cermin sisi sudah patah. Tetapi, ia tetap satu kesalahan dan saya mengaku.
“Bagi menebus kesilapan ini, saya akan melawat kilang Audi di Ingolstadt bagi sesi tandatangan autograf selama satu jam dan beramah mesra dengan kakitangan di sana,” kata Coman kepada akhbar Bild.
Kelab-kelab bola sepak di Jerman merupakan antara liga utama di Eropah yang kembali memulakan latihan minggu lalu. Mereka bagaimanapun perlu menjalani saringan ketat bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
- BACA: ARAB SAUDI DAN RUSIA CAPAI KATA SEPAKAT TAMATKAN PERANG HARGA MINYAK. KURANGKAN PRODUKSI 10 JUTA TONG SEHARI
- BACA: AUDI RS7 SPORTBACK 2020- WOW!
- BACA: KERETA NASIONAL KETIGA DIDEDAH. SERONOK DIPANDU, JIMAT MINYAK DAN LAMPU BELAKANG MACAM AUDI
- BACA: AUDI AJAR CARA PASANG KIPAS PADA ENJIN CARA BETUL







