Artikel Pilihan

FAHAMI TEKNIK ASAS PEMANDUAN DEFENSIF, SEBELUM ANDA MEMANDU

Kalau anda peminat dunia automotif di Malaysia, figura seperti Azad Jasmi adalah satu nama yang pasti tidak asing lagi bagi anda. Azad merupakan seorang ahli perniagaan, seorang pendidik, aktif dalam sukan permotoran, pernah menjadi pengacara bagi rancangan terbitan TV3 bagi program Hot On Wheels.

Selain daripada memiliki pengalaman yang luas dalam bidang sukan permotoran, Tuan Azad Jasmi juga pernah bekerja di Proton, Kia, dan juga Hicom. Berikutan insiden sebuah Mercedes Benz E43 AMG terbabas semalam, berikut ialah teguran beliau kepada semua pemandu di luar sana. Kami rasa tulisan ini wajar diketengahkan sebagai iktibar untuk kita semua mengenai aspek keselamatan pemanduan di jalan raya

Ikhtibar dari Insiden Untuk PemanduAzad Jasmi -12 Feb 2021

1. Sedikit ikhtibar yang boleh kita pelajari dan ambil dari insiden ini. Saya menerima video ini dan perkongsian ini tiada niat untuk memburukkan jenama kenderaan atau pun pemandu. Sekadar untuk sama-sama kita memberikan peringatan. (Tanpa Prejudis).

2. Kemalangan ialah sesuatu yang tidak pernah dipinta oleh sesiapa. Jadi penulisan kecil kali ini bukanlah ingin mencari salah laku pemandu atau sesiapa yang terlibat tetapi sekadar untuk menjadi peringatan buat saya sendiri serta pembaca.

3. Tiada prejudis buat mana-mana pemandu. Kita tidak tahu punca sebenar berlakunya kemalangan dan artikel kecil ini hanya untuk panduan sahaja.

4. Kenderaan yang hebat dengan sistem brek dan suspensi mahal bukanlah “lesen” untuk kita memandu laju di atas jalan raya lebih-lebih lagi pada kawasan perumahan, pada kawasan pusat perniagaan atau jalan-jalan yang ramai kenderaan.

5. Jangan sesekali kita “underestimate” kekuatan kenderaan dan “overestimate” keupayaan diri.

Tn Azad Jasmi

6. “Aku dah ada lesen dekat 20 tahun lebih, aku pernah masuk lumba, aku tahu sistem kereta aku, aku pernah itu ini, aku biasa bawa sports car, aku dah masuk kelas defensive driving, aku selalu masuk race.”. – Ini semua bukan lesen membolehkan kita pandu laju di jalan raya sewenang-wenangnya.Kata-kata ini bukanlah satu validasi yang melayakkan kita memandu dengan laju.

7. Sikap diri, ego diri, adab pemanduan itu bukan berdasarkan berapa lama anda dapat lesen atau berapa mahal sistem kenderaan kita. Sikap ini perlu dibentuk dan jangan jadikan jalan raya untuk tempat nak “test power”, nak jadikan tempat nak suruh kawan rasa kereta yang baru ditala, nak test sistem brek dan sebagainya

8. Kita menekan minyak dengan laju dan akhirnya tahap brek anda itu tidak terlaksana dengan baik, bukan kerana brake pads itu salah tapi tahap ilmu pemandu dan sikap pemandu yang memilih lapangan yang salah untuk “test power”. Ini kerap kali berlaku.

9. Ramai menganggap suspensi sport dan rendah, tayar lebar, tukar rim sport, tukar “brake pads berprestasi tinggi” dah membolehkan anda memandu laju. Dan mereka rasa kenderaan mereka ini dah “layak” untuk dipandu laju.

10. Tingkatkan ilmu pemanduan dan ilmu pemanduan ini bukan sahaja skil fizikal mengawal kenderaan tetapi skil kematangan diri untuk mengawal emosi agar tidak mudah terpengaruh dengan “ajakan” kenderaan lain atau mudah teruja dengan kenderaan lain di atas jalan raya. Kematangan mengawal emosi juga ilmu pemanduan yang jarang diambil berat.

11. Sebelum memandu, elok berdoa dan bertawakkal. Buangkan rasa ego dijalan raya.

12. Tidak kira jenama kenderaan apa atau jenama tayar apa pun, atau jenama brek, ini tidak boleh “Defy the law of physics” atau menentang lumrah fizik bila hujan. Elok perlahankan kenderaan.

13 Sekali lagi peringatan, jalan raya bukan tempat berlumba atau tempat nak pamerkan kelajuan kenderaan atau kemahiran pemandu kerana ia boleh mencederakan orang lain jika berlaku kemalangan.

14. Jika kita memandu kenderaan yang belum pernah kita pandu, dapatkan dahulu “feel” kekuatan engine, tahu keupayaan brek serta bagaimana response steering serta “behaviour” kenderaan tersebut. Elakkan terus nak uji “power” jika kita memandu uji kenderaan baru atau mana mana kenderaan yang belum pernah kita cuba sekalipun kenderaan rakan-rakan kerana “feedback” kenderaan itu mungkin diluar jangkaan kita dan diluar kemampuan skil kita.

Yang baik dari Allah dan buruk itu dari saya dan ini juga peringatan buat diri saya. Safety First, Last & Always.

Penulis berkesempatan menghubungi Tuan Azad Jasmi berkenaan insiden berkenaan dan penulis bernasib baik kerana beliau berkongsi 3 tip utama berkenaan pemanduan defensif yang selalu dipandang remeh oleh kebanyakan pemandu di Malaysia (err termasuk penulis).

Kedudukan ibu jari

1. Seating Position – atau kedudukan pemandu yang optimum bagi memandu. Antara kawalan yang penting ketika memandu ialah kawalan tangan pada roda stering dan juga kawalan pedal minyak, brek dan juga klac. Bagi postur badan yang betul, pastikan bahu direhatkan pada penyandar kusyen dengan selesa. Bukan terlalu jauh atau terlalu dekat.

Kedudukan tangan – Dari kedudukan ini, ubah kedudukan kusyen (ke depan atau belakang) bagi memastikan pergelangan tangan anda berada tepat di atas stering. Letakkan ibu jari tangan kanan pada kedudukan pukul 3 dan ibu jari kiri pada kedudukan pukul 9. Ketinggian stering yang ideal ialah dengan melihat ibu jari supaya berada sama aras dengan bahu

Kedudukan kaki – Biasanya wujud satu tempat letak kaki kiri samaada kereta auto atau manual bagi meletakkan kaki serta mengunci kedudukan badan kita pada kusyen. Kaki kanan yang berfungsi menekan pedal minyak dan pedal brek perlu menggunakan pivot poin yang sama. Ini bermakna anda menekan pedal minyak dan brek tanpa perlu mengalihkan kaki. Ini membolehkan teknik modulasi brek dan minyak dilakukan

Modulasi – tekan brek dan minyak dengan kawalan penuh. Boleh tekan sedikit atau penuh bergantung pada driving feel.

posisi cermin pandang belakang

2. Posisi Cermin Sisi dan Pandang Belakang – kesalahan biasa yang dilakukan oelh pemandu amatur termasuk penulis ialah dengan memposisikan cermin sisi agar kita boleh melihat bahagian belakang kereta. Cara yang betul ialah dengan melebarkan pandangan cermin sisi agar kita mendapat panoramic seluas mungkin dari cermin sisi

Teknik ini membenarkan kita melihat dengan lebih luas sekaligus mengurangkan risiko fenomena titik buta terutama bagi melihat penunggang motosikal. Cermin pandang belakang pula perlu diletakkan agar ia boleh melihat menerusi cermin belakang semaksimum mungkin

3. Brake & steer – merupakan kaedah brek kecemasan dengan menekan pedal brek semaksimum mungkin di laluan lurus. ABS pula berfungsi dengan membenarkan stering menerima input dari pemandu dan menghantar input menukar arah pada tayar depan bagi mengelakkan halangan atau bahaya. Posisi pemanduan yang betul akan membenarkan pemandu mengawal kereta dengan betul dalam situasi kecemasan

Safety First, Last and Always. Ini pesanan Tuan Azad Jasmi

Google ads
Back to top button