Motosikal

YAMAHA LANCAR AEROX 155 (NVX) DI THAILAND. 6 PILIHAN WARNA, Y-CONNECT, BERMULA RM10,640 SEUNIT

Yamaha Motor Thailand baru-baru ini melancarkan model Aerox 155 (NVX) 2021 ke pasaran tempatan. Ditawarkan pada harga 78,500 baht (RM10,640), skuter itu kini tampil dengan rekaan yang lebih sporty. 

Rangkaian kuasa tidak berubah, ia masih menggunakan enjin BlueCore silinder tunggal 155cc dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin yang dilengkapi teknologi injap boleh ubah VVA itu berupaya menjana kuasa mencecah 15.4hp dan tork 13.8Nm. Ia merupakan enjin sama yang ada pada model R15 V3 dan Exciter 155 VVA di Vietnam.

Sebagai model baharu, Aerox 155 didatangkan dengan pelbagai ciri seperti sistem Start/Stop bersama SMART Motor yang befungsi mematikan enjin ketika berhenti di lampu isyarat. Penunggang hanya perlu memulas pendikit untuk menghidupkan semula enjin. 

Tampil dengan enam pilihan skema warna, sistem lampu skuter itu menggunakan teknologi LED pada lampu utama dan DRL.

Lampu belakang yang direka lebih kecil juga terdiri daripada lampu LED. Penunggang pasti berpuas hati dengan reka grafik pada kluster instrumen LCD baharu. 

Sama seperti model-model terkini Yamaha yang lain, Aerox 155 dilengkapi sistem ketersambungan Y-Connect. 

Y-Connect menawarkan lapan fungsi utama iaitu akses maklumat telefon (indikator ketika terima masuk panggilan, e-mel atau mesej, termasuk paras bateri telefon), peringatan servis, notifikasi malfungsi, tahap penggunaan bahan api, maklumat tunggangan masa nyata (seperti pecutan, rev, tunggangan eko, suhu enjin dan suhu sekeliling dalam dua gaya grafik beranimasi), lokasi parkir dengan GPS serta maklumat kontak dengan pengedar Yamaha.

Perkara penting yang perlu diketahui ialah kapasiti tangki skuter itu telah ditingkatkan kepada 5.5 liter berbanding 4.6 liter sebelum ini. 

Ruang penyimpanan barang masih sama iaitu 25 liter yang boleh memuatkan sebuah topi keledar muka penuh. Saiz rim turut tidak berubah, kekal 14 inci yang dibalut oleh tayar selebar 140mm. 

Aspek pengendalian diserahkan kepada fork teleskopik pada roda hadapan dan dwi-absorber di belakang dengan subtangki untuk varian ABS. 

GALERI

Google ads
Back to top button