Buletin

PORSCHE LANCAR PROGRAM 360 LEASING UNTUK CAYENNE & PANAMERA

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini melancarkan program pembiayaan pajakan yang dikenali sebagai 360 Leasing buat pertama kalinya di Malaysia.

Dengan program ini, pelanggan berpeluang memandu model-model seperti Cayenne dan Panamera. Sementara model Macan akan ditawarkan tidak lama lagi.  

Program itu membolehkan pelanggan persendirian atau syarikat memandu sebuah Porsche baharu setiap tiga tahun atau perbatuan sejauh 60,000km dengan hanya 10 atau 25 peratus security deposit yang akan dipulangkan semula berdasarkan kepada nilai kenderan yang dipilih.

Pelanggan hanya perlu membayar sewa bulanan sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga tidak perlu bimbang tentang nilai jualan semula. Cukai jalan, pakej insurans yang komprehensif termasuk perlindungan ke atas cermin utama, bencana alam serta bantuan tepi jalan 24 jam turut disediakan.

Pada penghujung pajakan, pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf pajakan sedia ada atau menukar kereta terkini dalam rangkaian yang sama. Mereka juga boleh memanjangkan tempoh pajakan atau pulangkan semua kereta kepada SDAP.

Bagi memberi ketenangan minda kepada pelanggan, kenderaan Porsche di bawah 360 Leasing didatangkan bersama jaminan dan pakej penyelenggaraan di pusat pengedar sah Porsche.

Program 360 Leasing diumumkan oleh SDAP pada acara Porsche Sportscar Together Day di Litar Antarabangsa Sepang. Acara tersebut diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-70 Porsche tahun lalu dan diadakan buat pertama kali di Malaysia.

Para peminat Porsche berpeluang melihat model-model ikonik seperti jentara lumba 911 GT3 Cup daripada Porsche Carrera Cup Asia, lapan generasi 911, 919 Hybrid dan model skala Mission E 1:3.

Pada majlis yang sama, SDAP turut memperkenalkan Macan S baharu ke pasaran tempatan.  

Tags
Google ads
Back to top button