Buletin

PORSCHE SPEEDSTER 911 EDISI TERHAD. OPEN-TOP, RM2.7 JUTA

Sime Darby Auto Performance (SDAP) melancarkan model baharu, Porsche Speedster 911 yang bermula pada harga RM2.7 juta.

Edisi terhad itu hanya dibikin sebanyak 1,948 unit di seluruh dunia sebagai memberi penghormatan kepada model Roadster 356 “No.1”. 

Model memiliki dua tempat duduk dengan bumbung terbuka (open-top) itu mengimbas kembali sejarah jenama Porsche.

Aspek ringan menjadi intipati penting dalam pembangunan Speedster. Jadi, tidak hairanlah jika terdapat banyak komponen diambil daripada model Porsche 911 GT3.

Misalnya spoiler belakang, apron belakang dan apron hadapan. Begitupun, bonet kereta sports yang diperbuat daripada komposit gentian karbon ini lebih ringan berbanding model 911 GT3.

Porsche 911 Speedster didatangkan dengan set rim aloi bersaiz 20 inci, serta sistem brek cakera berliang PCCB (Porsche Ceramic Composite Brake).

Kereta sports itu kelihatan lebih segak apabila menampilkan ruang dalaman dengan elemen kulit berwarna hitam. Di samping tempat duduk bucket penuh yang diperbuat daripada komposit gentian karbon, konsol tengah dan pintu lebih ringan.

Paparan kluster instrumen pula ditampilkan dengan rekaan dial berwarna hitam, jarum putih serta digit berwarna hijau yang mengingatkan kepada model Porsche 356 Speedster.

Di bahagian belakang tempat duduk pula, terdapat lencana yang memaparkan nombor siri Porsche 911 Speedster yang dihadkan kepada 1,948 unit sahaja di seluruh dunia.

Ia dikuasakan oleh enjin 4.0 liter boxer enam silinder berkuasa 510hp dan 470Nm pada putaran enjin 6,250 rpm.

Porsche 911 Speedster berupaya memecut dari 0-100km/j  dalam masa 4.0 saat dengan pecutan maksimum 310km/j.

Antara ciri kawalan pengendalian dan casis yang didatangkan termasuklah Porsche Active Suspension Management (PASM) yang membolehkan kereta direndahkan sebanyak 25 mm, Porsche Torque Vectoring (PTV) dan Porsche Stability Management (PSM).

Porsche 911 Speedster boleh disaksikan secara eksklusif di Pusat Porsche, Sungai Besi, Kuala Lumpur bermula 13 Jun 2020. Penggemar jenama ini dinasihatkan membuat temu janji terlebih dahulu.

GALERI

Google ads
Back to top button