Artikel Pilihan

JENAMA KERETA YANG MESTI KORANG TAK PERNAH DENGAR

Sebagai web permotoran gaya baru semestinya kami akan bercerita tentang jenama-jenama terkenal dan model-model popular mereka. Tapi itulah, dunia ni memang luas sebenarnya dan banyak lagi jenama di luar sana yang jarang-jarang dapat liputan. Ada yang jenama bila dibaca bunyi kelakar dan ada pulak yang nampak menyedihkan. Tapi sebagai kaki kereta yang mahu menambah pengetahuan apa salahnya kita ambil tahu tentang jenama-jenama yang tidak diketahui pernah wujud di alam semesta ini.

Tramontana

Bunyi namanya macam jenama pisau penjual daging dekat pasar basah tapi Tramontana ini sebenarnya ialah sebuah syarikat pengeluar supercar dari Barcelona. Kereta-kereta keluaran mereka sebenarnya adalah tempahan khas dan tidak akan ada dua kereta yang sama dikeluarkan. Syarikat ini ditubuhkan untuk lari dari kebiasaaan pengeluar dan menggunakan casis dan enjin yang diasaskan daripada jentera F1.

Pemilik atau pelanggan dipilih berdasarkan jumlah wang yang dimiliki dan antara model mereka yang paling popular ialah Tramontana GT dan XTR. Keduanya dilengkapi dengan enjin 5.5L V12 Mercedes-Benz yang diubahsuai oleh pakar-pakar perlumbaan. Ada juga model yang dipasang dengan enjin V10 dan hasilnya ialah kereta-kereta yang melekat di permukaan litar dan mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa kurang dari 3 saat!

Ultima Sports

Ultima Sports merupakan sebuah syarikat berpangkalan di UK yang mungkin biasa anda dengar kerana kejayaan mereka memecahkan rekod kelajuan dengan menggunakan Ultima GTR. Tapi walaupun ia berasal dari UK, Ultima menggunakan enjin daripada American Speed yang diasaskan daripada enjin V8 blok kecil Chevrolet. Ultima memegang rekod pecutan 0-160 km/j dan berpatah balik semula hanya dalam masa 9.4 saat! Laju tu saudara saudari, tak percaya cuba buat sendiri dengan kereta modified kedai Ah Beng korang.

Fornasari Automobilia

Fornasari diasaskan oleh Gigi Fornasari pada tahun 1999. Model-modelnya banyak kelihatan seperti adunan Maserati dan Alfa-Romeo. Ramai yang mengatakan Fornasari ni memang pelik sebab menghasilkan kereta GT yang berkuasa tetapi dengan kelegaan bumi yang agak tinggi (memang elok sangatlah kalau nak masuk kawasan perumahan kat Malaysia ni). Enjinnya pula diambil daripada Chevrolet V8.

Yulon

Yulon dari Taiwan merupakan sebuah syarikat dengan sejarah yang panjang. Ia mula bekerjasama dengan Nissan sejak tahun 1957 dan menghasilkan semula model Nissan dengan kebenaran tentunya dan dilindungi oleh kerajaan Taiwan. Tapi Yulon sebenarnya muncul setahun lebih awal bila syarikat Willys dari AS bersetuju dengan perkongsian teknologi dan Yulon mula mengeluarkan model Jeep mereka sendiri dalam tahun 1956.

Donkervoort

Ini bukannya keldai dalam bahasa Belanda okey. Ia merupakan jenama yang diasaskan oleh Joop Donkervoort yang pakar dalam menaik taraf kereta sports Caterham 7 sejak dari tahun 1978 sehinggalah sekarang. Kereta-kereta cukup ringan dan dihasilkan dengan tangan dan Donkervoort D8 GTO merupakan model terkini mereka. 2.8 saat, itulah masa yang diperlukan oleh D8 GTO untuk membuat pecutan 0-100 km/j.

Sungri

Diasaskan pada tahun 1950 dan syarikat ini sama ada namanya ataupun model-model yang dihasilkan memang sama menyedihkan dengan seluar baggy yang dipakai oleh Kim Jong-Un. Ia merupakan syarikat kereta tertua Korea Utara dan sebagai produk negara komunis, kreativiti bukanlah hak mutlak mereka. Hasilnya lahirlah model-model yang diciplak dari jenama terkenal khususnya Mercedes-Benz.

Panoz

Pada tahun 1988, pengasas syarikat farmaseutikal AS, Donald Panoz membeli rekaan casis jentera perlumbaan Irish dan mula membangunkan Panoz Roadster. Ia mula dipasarkan pada tahun 1990 penuh dengan kuasa untuk keseronokkan pemanduan. Panoz kemudian menghasilkan lebih banyak kereta dan menyertai perlumbaan Le Mans. Beliau juga memulakan siri perlumbaan Le Mans AS dan membukan sekolah-sekolah memandu dengan membeli litar-litar perlumbaan di serata AS.

Via Motors

Via merupakan satu lagi jenama AS yang akan semakin kerap muncul. Ia merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan untuk membangunkan kenderaan elektrik. Ia juga dikatakan akan mula menghasilkan kenderaan bagi menggantikan 13,000 unit kenderaan Pacific Gas and Electrics dengan model-model elektrik sepenuhnya meliputi trak-trak besar, van dan juga SUV.

Bristol Cars

Peminat kapal terbang mesti pernah dengar jenama Bristol. Syarikat ini sebenarnya masih belum berkubur cuma sedang berehat. Ia dihidupkan kembali pada tahun 2011 dan menyediakan khidmat restorasi dan jualan dari bilik pameran eksklusif mereka di Kensington Street, London untuk pelanggan-pelanggan kaya raya. Mereka pernah mengumumkan model baru yang dinamakan Bullet di Goodwood pada tahun 2016 tetapi tiada berita lanjut mengenainya sehinggalah sekarang.     

Kredit Carbuzz.com  

Google ads
Back to top button