Artikel Pilihan

KERETA-KERETA HEBAT YANG DIINSPIRASIKAN DARI PESAWAT TERBANG

Pesawat terbang memang merupakan sumber inspirasi yang baik untuk para pereka khususnya untuk kereta-kereta yang laju selain supercar. Gabungan kelajuan, ciri aerodinamik dan imaginasi zaman kanak-kanak memang kelihatan sesuai bila digabungkan bersama.

Banyak kereta-kereta yang telah dihasilkan hasil dari inspirasi ini dan ada yang kelihatan agak melampau seperti Lamborghini Egoista tapi di sini kami persembahkan beberapa buah kereta yang cantik, tidak terlalu pelik dan memang mendapat idea dari pesawat terbang.

Vector W8

Kita mulakan dengan sebuah model klasik yang dihasilkan pada awal 90-an. Vector W8 merupakan antara supercar terbaik pernah dihasilkan dari AS. Ia memang dihasilkan menggunakan teknologi aeroangkasa dan papan pemukanya memang menyamai kokpit sebuah pesawat. Ia dihasilkan oleh Vector Aeromotive Corporation dan mampu mengatasi Ferrari Testarossa dari segi pecutan. Sayangnya syarikat Vector lumpuh sebelum model konsep WX8 sempat dihasilkan.

Lamborghini Reventon

Antara supercar paling bergaya dan dihasilkan hanya sebanyak 20 unit dan ditambah satu unit lagi untuk pameran di muzium Lamborghini. Ia diinspirasikan daripada pesawat F117 ‘Stealth’ Amerika Syarikat dan dinamakan Reventon sempena seekor lembu laga yang telah membunuh matador terkenal Mexico pada tahun 1943. Biasalah Lamborghini dan lembu laga berpisah tiada.

Tramontana R Edition

Ini merupakan sebuah kereta sport buatan Sepanyol dan memang kelihatan seperti muncung hadapan pesawat pejuang yang dipasang dengan roda. Perekanya mengatakan ia adalah kacukan kereta F1 dan pesawat pejuang. Ia mengambil masa 4,000 jam untuk disiapkan. Versi dua tempat duduk kelihatan lebih bergaya kerana penumpangnya memang berada di belakang pemandu sama seperti sebuah pesawat tempur.

Spyker C8 Aileron

Ini merupakan model edisi istimewa yang diinspirasikan dari sejarah perlumbaan dan penerbangan Spyker. Ia juga sebagai menandakan berakhirnya pengeluaran Spyker Coupe. Bahagian luarnya dibina menyerupai badan pesawat dengan butiran rivet yang jelas kelihatan pada bahagian fender dan bonet depan terutamanya.

Marussia B2

Marussia B1 dan B2 memang cukup istimewa kerana ia merupakan antara kereta sports pertama yang dihasilkan di Russia. Juga mendapat idea daripada pesawat terbang tetapi ia bukannya supercar paling laju pernah dihasilkan.

Ford Mustang

Jangan ingat Mustang tidak mempunyai pengaruh pesawat terbang. Walaupun namanya tiada kaitan dengan pesawat tempur popular dalam Perang Dunia Kedua, Mustang mempunyai pengaruh pesawat terbang pada bahagian dalamannya seperti pada susunan meter dan suis-suis ala pesawat yang ada padanya.

USAF Dodge Vapor

Tentera Udara Amerika Syarikat ni kadang-kadang boleh tahan gilanya dan Dodge Vapor ini adalah antara buktinya. Ia diberikan cat istimewa yang mampu menyerap gelombang radar sama seperti pesawat F117 Nighthawk ‘Stealth’ dan lengkap dengan kamera dan fungsi infra merah bagi membolehkan kereta ini dipandu pada waktu malam tanpa memasang lampu. Tengo sahaja konsol tengahnya dan anda akan dapati yang ia memang menyamai kokpit sebuah pesawat.

USAF Mustang X-1

Ini merupakan hasil ciptaan Galpin Auto Sport untuk USAF. Peralatan di dalamnya memang sumbangan USAF dan ia turut dilengkapi dengan kamera infra merah dan kerusi lenting untuk pemandu melonjak keluar dalam keadaan kecemasan. Apa tujuan ia dihasilkan? Sebagai ibu duit untuk mengajak anak muda menyertai tentera udar, kreatif kan?

Lamborghini Indomable

Lamborghini memang mempunyai banyak konsep yang diinspirasikan dari pesawat pejuang dan Indomable ni adalah antara yang tercantik pernah dilakarkan. Ia diasaskan daripada sebuah Gallardo dan mempunyai tema pesawat pejuang generasi kelima F-22 Raptor. Ia dihasilkan oleh dua orang pereka dan salah seorang daripadanya ialah Daniel Chinchilla Ochoa yang memang cukup mahir dengan rekaan kit aero.

GM Ecojet

Ini merupakan sebuah model konsep dengan enjin jet biofuel. Ia merupakan hasil cetusan idea  Jay Leno dan Frank Saucedo, ketua studio West Coast GM. Leno mempunyai sekumpulan saintis gila yang mampu mereka apa sahaja dan hasilnya lahirlah sebuah model konsep yang menggunakan enjin Honeywell LT-101 yang dikuasakan oleh biodisel B100.

Google ads
Back to top button