MEKANIK KANTOI LENJAN CORVETTE PELANGGAN, PENGEDAR TERPAKSA GANTI DENGAN KERETA BAHARU
Sebuah pengedar Chevrolet di Fremont terpaksa memberikan sebuah C8 Corvette serba baharu kepada pelanggan selepas seorang mekaniknya didapati melenjan kereta pelanggan terbabit.
Lebih malang lagi, rakaman yang tular di media sosial itu ditonton sendiri oleh pemilik kereta tersebut. Mekanik itu didakwa memandu dengan kelajuan tidak kurang 238km/j.
Kisah bermula apabila pemilik kereta, Michael membawa Corvette 2021 miliknya ke pengedar Chevrolet Fremont kerana bunyi yang membimbangkan dari dalam enjin. Seorang mekanik tidak lama kemudian mendapati salah satu palam pencucuh longgar.
Setelah kereta itu dibaiki, mekanik tersebut memutuskan untuk melakukan uji pandu untuk memastikan bahawa semuanya berfungsi dengan baik.
Tanpa disedari oleh mekanik, Perakam Data Prestasi kereta itu dihidupkan dan menunjukkan dia berulang kali memecut. Bahkan pada satu peringkat, mekanik itu sempat berlumba dengan Dodge Charger di sepanjang lebuh raya yang sibuk. Video itu tular sekelip mata, memaksa pengedar untuk bertindak balas.
Bercakap dengan portal The Drive, pemilik kereta itu mendedahkan dia berkomunikasi melalui emel dengan pemilik pengedar selepas kejadian itu. Tanpa disangka, dia ditawarkan dengan Corvette 2022 secara percuma.
Setelah segala urusan dengan pengedar selesai, Michael hanya akan dapat kunci Corvette 2022 apabila ia berada di pasaran. Sementara menunggu tempoh tersebut, dia akan terus memandu Corvette 2021 miliknya dan pengedar bersetuju untuk meneruskan jaminan kereta tersebut.