Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: ENJIN CORVETTE 6.2L.

Kami biasa mengulas berkenaan enjin, samaada enjin Jepun, Korea ataupun Continental. Jarang sekali kami ada nafsu nak ulas berkenaan enjin muscle car Amerika. Dah la besar, melahap petrol macam minum air gas, cukai jalan zalim macam Firaun. Tapi untuk adil, kali ini kami ulas pasal enjin buatan Amerika

Enjin yang dimaksudkan ialah enjin buatan General Motor yang dipasang dalam model Corvette Stingray dengan saiz sebesar 6200cc. Enjin ini menggunakan konfigurasi 8 silinder yang disusun dalam bentuk V. Diameter silinder adalah sebesar 103.25mm dan saiz lejang pula adalah sebesar 92mm.

V8 OHV

GM sengaja mereka enjin ini sebagai enjin oversquare dengan saiz diameter melebihi saiz lejang. Ini membenarkan enjin mencapai RPM yang tinggi tanpa memerlukan halaju piston yang tinggi. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 11.5:1 bagi mengekstrak kuasa secara maksima. Blok enjin dan juga bahagian atas silinder dibuat daripada aloi aluminium melalui proses casting.

Sistem pemasaan injap tidak menggunakan sistem DOHC, tapi sistem Over Head Valve dengan push rod. Terdapat satu rod yang menerima pergerakan mekanikal dari pergerakan aci engkol terus ke rocker arm di atas enjin bagi membuka dan menutup injap. Walaupun ia masih menggunakan rantai pemasaan atau tali sawat, rekaannya lebih ringkas.

OHV dengan Push rod

Disebabkan rekaan OHV, enjin ini direka supaya beroperasi dengan menggunakan 2 injap bagi setiap silinder berbanding dengan 4 injap bagi setiap silinder. Jadi secara keseluruhan enjin ini hanya memiliki 16 injap untuk beroperasi dan ia memudahkan jurutera mereka sistem pengedaran minyak pelincir.

Walaubagaimanapun, enjin ini masih dilengkapkan dengan sistem pemasaan injap boleh laras bagi injap kemasukan dan injap ekzos (dual VVT) bagi memberikan tork yang baik pada RPM yang rendah serta kuasa enjin yang tinggi pada RPM yang tinggi.

GM juga telah menaiktaraf sistem penghantaran petrol dari menggunakan port injection (EFI) kepada sistem pacitan terus (direct injection). Antara kelebihan sistem pancitan terus ialah penghasilan tork yang lebih tinggi, kuasa kuda yang lebih baik dan juga kecekapan bahan api yang bagus.

Masalah enjin bersaiz besar ini ialah penggunaan petrol dia mesti lebih dari Saga dan Bezza. Jadi GM memperkenalkan teknologi Active Fuel Management yang terdiri daripada sistem elektronik yang kompleks. Sistem ini akan menyahkatifkan 4 silinder semasa kereta dipandu dalam keadaan santai dan dipandu dengan berhemah di lebuh raya namun sebaik sahaja ia mengesan pemandu menekan pedal secara agresif, 4 lagi silinder akan dihidupkan serta merta.

Supercaj

Enjin ini dipasang pada Corvette Stingray dan Corvette Grand Sport berupaya 460 kuasa kuda pada 6000 RPM dan Tork maksima 614Nm pada 4400 RPM. Enjin ini dipadankan dengan 2 pilihan transmisi iaitu 7 kelajuan manual ataupun 8 kelajuan automatik dan dihantar kepada tayar belakang. Dengan kuasa yang ada, pecutan dari 0-100km/j mengambil masa sekitar 3.7 saat.

Hek eleh, tak power pun. Mesti ada yang komen macam tue kan. Menyedari hakikat tersebut, GM menyediakan satu lagi pilihan kepada enjin LT1 ini yang dikenali dengan nama LT4. Ia masih mengekalkan sistem OHV dua injap yang sama cuma terdapat beberapa modifikasi dilakukan bagi menghasilkan lebih kuasa kuda. Barulah Amerikaaaaa.

Enjin ini hanya dikhaskan untuk Corvette ZR1 sahaja. Kalau nak enjin menghasilkan kuasa besar, tapi mengekalkan saiz yang sama car a yang paling berkesan ialah dengan memaksa enjin menerima lebih banyak udara untuk dibakar dengan petrol. Namun enjin ini dengan DNA Amerika memilih untuk dipadankan dengan sistem supercaj.

Dry Sump Sistem

Supercaj yang digunakan ialah sebesar 1.7 liter dengan rekaan 4 lobe bagi menyedut udara dengan khusyuk. Kalau dah pakai supercaj, maka tak dapat nak elak mesti kena guna sistem penyejuk bagi menyejukkan udara yang dimampatkan. Jadi supercaj ini datang dengan sistem penyejukan terbina dalam.

Lebih istimewa ialah sistem supercaj ini telah diintegrasikan bersama-sama dengan intake manifold. Hasilnya keseluruhan sistem menjadi lebih kompak dan ringan. Malah sistem ini lebih ringan hampir 9kg berbanding dengan sistem lama. Apabila sistem lebih kompak, tak ada la ia terjojol keluar seperti kereta Dom, mengganggu penglihatan pemandu.

Berbeza dengan varian LT1, enjin ini menggunakan aplikasi dry sump oil system. Sistem ini akan memastikan sistem takungan minyak enjin sebesar 9.3 liter berupaya menghantar minyak pelincir kepada mana-mana bahagian enjin walaupun ketika selekoh pada kelajuan yang tinggi dan mengalami tekanan G yang tinggi. 8 pemancit minyak enjin bertekanan tinggi akan sentiasa memancitkan minyak enjin di dalam blok bagi memastikan suhu enjin kekal optimum

Salah satu komponen yang menerima stress ataupun tekanan tinggi ialah piston. Jadi bagi menghadapi semua tekanan bagi menghasilkan kuasa, piston enjin ini dibuat daripada aluminium aloi khas bagi mengadaptasi tekanan tinggi. Nisbah mampatan enjin pula telah diubah kepada 10:1 bagi mengurangkan kebarangkalian masalah ketukan daripada berlaku

Kuasa yang dihasilkan oleh enjin LT4 6200cc dengan supercaj ini ialah 650 kuasa kuda pada 6400 RPM. Tork maksima 881Nm pula dicapai pada 3600 RPM. Nak tarik kayu balak pun boleh ni. Cuma penggunaan petrol enjin ini agak mengerikan, iaitu sekitar 5.5km per liter bagi pemanduan di bandar. Bagi pemanduan di lebuh raya, ia mencatatkan bacaan sekitar 9.7km bagi setiap liter.

Google ads
Back to top button