Buletin

CHEVROLET GULUNG TIKAR DI CHINA, JUALAN JATUH 99 PERATUS

Jenama automotif Amerika Syarikat, Chevrolet, dilaporkan bakal menamatkan operasinya di China selepas mengalami kemerosotan jualan yang amat ketara dalam tempoh sedekad lalu.

Menurut laporan media automotif Jerman, Automobilwoche, Chevrolet dijangka menghentikan penjualan kenderaannya di negara itu selepas hampir 21 tahun bertapak dalam pasaran China.

Keputusan tersebut hadir susulan kejatuhan jualan yang drastik daripada lebih 767,000 unit pada 2014 kepada kurang 9,000 unit pada tahun lalu.

Penurunan itu bersamaan hampir 99 peratus, sekali gus mencerminkan cabaran besar yang dihadapi jenama berlogo ‘bowtie’ tersebut dalam mengekalkan daya saing di pasaran automotif terbesar dunia.

Sebelum ini, General Motors (GM) memberi petunjuk bahawa tumpuan syarikat di China akan lebih terarah kepada jenama Buick dan Cadillac yang masih menunjukkan prestasi lebih kukuh. Malah, rangkaian model elektrik baharu Buick Electra turut dilihat mendapat sambutan positif dalam kalangan pengguna tempatan.

Chevrolet sebelum ini menawarkan pelbagai model di China termasuk Blazer, Equinox, Malibu XL, Seeker, Monza, Menlo EV, Equinox Plug-in Hybrid dan Tracker.

Namun, sebahagian besar model tersebut masih menggunakan enjin pembakaran dalaman ketika pengguna China semakin beralih kepada kenderaan tenaga baharu (NEV), termasuk model elektrik dan hibrid.

Walaupun penjualan Chevrolet dijangka dihentikan di China, laporan berkenaan menyatakan operasi pengeluaran oleh usaha sama GM-SAIC akan diteruskan. Kenderaan Chevrolet yang dihasilkan di negara itu akan lebih tertumpu kepada pasaran eksport.

GM bagaimanapun tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur dari China. Sebaliknya, syarikat itu bersama SAIC baru-baru ini melanjutkan kerjasama strategik mereka selama 20 tahun lagi bagi memperkukuh kedudukan dalam era elektrifikasi.

Melalui perancangan baharu tersebut, GM-SAIC menyasarkan pelancaran sekurang-kurangnya 30 model kenderaan tenaga baharu menjelang 2030, selain memperluaskan penggunaan teknologi yang dibangunkan di China khusus untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Google ads
Back to top button