Buletin

CHEVROLET TRAX 2024. ENJIN 1.2L TURBO, LEBIH SPORTY DAN MURAH. BERMULA RM100K

Chevrolet Trax 2024 mengalami perubahan drastik, baik dari segi luaran mahupun dalaman. Generasi baharu Trax hadir dengan saiz yang lebih besar, panjang dan lebar.

Chevrolet telah berjaya mengimbangi saiz besar Trax 2024 dengan harga lebih rendah berbanding Trailblazer.  

Reka bentuk luaran dan dalaman berbeza bergantung pada varian. Terdapat versi standard untuk LS dan LT. Reka bentuk lebih sporty bersama roda aloi lebih besar dan aksen merah untuk varian RS, selain penampilan lebih gah dengan aksen kuning untuk model Activ.

Jarak roda Trax kini adalah 2.7 meter berbanding 2.66 meter untuk Trailblazer. Panjang keseluruhannya ialah 4.54 meter berbanding 4.41 meter untuk Trailblazer.

Hasil daripada dimensi luaran yang lebih besar, ia memberikan tambahan 3 inci pada ruang kaki belakang dan ruang kargo lebih besar.

Trax 2024 menerima peningkatan dari segi teknologi standard. Gred LS dan 1RS mempunyai skrin infotainmen 8.0 inci. Varian LT, 2RS serta Activ pula mendapat skrin infotainmen 11 inci.

Ciri-ciri lain termasuklah pemanas tempat duduk, remote start, pengecasan tanpa wayar dan kawalan suhu automatik. Semua model turut didatangkan dengan keupayaan pembatalan hingar aktif.

Sistem keselamatan standard termasuklah kawalan jelajah adaptif, lane-change alert, pemantauan titik buta, rear cross-traffic alert dan rear park assist.

Trax 2024 dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.2 liter turbo yang menghasilkan 137hp dan tork 162Nm dengan transmisi enam kelajuan. Menurut wakil Chevy, kotak gear itu lebih ringan dan responsif.

Trax 2024 boleh mencapai kelajuan 96km/j dakam masa 8.6 saat, hampir satu saat lebih pantas berbanding model semasa.

Varian LS ditawarkan pada harga AS$21,495 (RM100,843), trim 1RS AS$23,195 (RM108,819) dan LT AS$23,395 (RM109,757). Manakala untuk trim 2RS dan Activ berharga AS$24,995 (RM117,264).

GALERI:

Google ads
Back to top button