Buletin

CHEVROLET RECALL 3,725 UNIT UNTUK GANTI INFLATOR BEG UDARA TAKATA. TUKAR DI PENGEDAR SAH HONDA TERPILIH

Chevrolet baru-baru ini mengingatkan para pemilik kenderaannya di Malaysia berkenaan dengan kempen recall yang melibatkan 3,725 unit kenderaan Chevrolet dan SAAB di Malaysia. 

Kempen yang dilancarkan secara rasmi pada Jun tahun lalu adalah untuk menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian pemandu dalam kenderaan yang terjejas. Timbul risiko kematian jika beg udara yang rosak diaktifkan jika berlaku kemalangan. 

Model-model yang terlibat ialah:

  • Chevrolet Cruze: model tahun 2010–2015
  • Chevrolet Orlando: model tahun 2013–2015
  • Chevrolet Sonic: model tahun 2013–2014
  • Chevrolet TRAX model tahun 2017
  • SAAB 9-3: model tahun 2007

“Sambutan terhadap kempen recall ini di Malaysia adalah di bawah jangkaan. Kami harap masyarakat membantu menyebarkan peringatan ini atau memaklumkan segera kepada rakan dan orang tersayang yang mungkin memiliki kenderaan Chevrolet yang tersenarai,” kata jurucakap Chevrolet Sales Thailand. 

Pemilik kenderaan Chevrolet yang terlibat tetapi tidak menerima makluman atau panggilan kerana data pemilikan dalam sistem sudah lapuk diminta menghubungi pasukan petugas Chevrolet atau log masuk ke laman web kempen panggilan balik untuk mendapatkan butiran lanjut. 

Menurut Chevrolet, memandangkan kenderaan yang terlibat bukan baharu, sukar untuk mengesan pemilik terkini. Ini ditambah  dengan ketiadaan pejabat rasmi Chevrolet di Malaysia.

Bagaimanapun, memandangkan penggantian beg udara percuma itu dikendalikan oleh pengedar sah Honda terpilih, Chevrolet berharap pemilik kenderaan akan memanfaatkan kemudahan rangkaian pusat servis Honda.

Walaupun tarikh akhir untuk kerjasama itu belum diumumkan, pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini secepat mungkin kerana kerjasama antara Chevrolet dan Honda Malaysia ini hanya untuk tempoh terhad.

Ia mungkin akan menjadi sangat sukar untuk mendapatkan khidmat menukar beg udara secara percuma apabila kerjasama dengan Honda Malaysia berakhir.

Chevrolet telah dan masih menjalankan kempen memanggill balik untuk menggantikan inflator beg udara tersebut sejak tahun lalu. Kempen itu dilaksanakan dengan kelulusan dan kerjasama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Memandangkan Chevrolet tidak berpengkalan di Malaysia, syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan dua syarikat tempatan untuk melaksanakan kempen panggilan balik ini. Bagi urusan komunikasi, Saphan9 Engagement, firma perundingan komunikasi dan kandungan dilantik untuk mengendalikan hal-hal berkaitan yang mencakupi pengumuman rasmi, khidmat pelanggan, pengurusan aset digital, maklumat dan data pelanggan. 

Manakala urusan kerja-kerja penggantian beg udara baharu pula dikendalikan oleh rangkaian pengedar sah Honda Malaysia yang terpilih.

Pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk melayari laman web kempen ini di www.chevrolettakatarecallmy.com   mereka akan dibimbing bagaimana untuk membuat tempahan slot penggantian melalui tiga langkah mudah:

1. Cari nombor VIN: Panduan untuk mengenalpasti nombor VIN kenderaan anda juga tersedia dalam laman sesawang tersebut. Nombor VIN adalah penting untuk mengesahkan status kenderaan yang terlibat

2. Panggilan untuk temujanji: Senarai pengedar sah Honda yang terpilih akan turut dipaparkan. Pemilik kenderaan boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Honda berdekatan dari senarai yang disediakan dengan menyatakan nombor VIN kenderaan untuk diperiksa status kenderaan mereka dan membuat tempahan slot penggantian secara percuma jika terlibat

3. Pemilik kenderaan akan diminta untuk berkongsi butiran mereka bagi membolehkan Chevrolet membuat pemakluman dan kemaskini yang penting berkenaan dengan kempen memanggil balik ini.

Untuk pertanyaan lanjut, pemilik kenderaan boleh menghubungi 011-3129 9963 atau 011-3129 9965 atau layari www.chevrolettakatarecallmy.com 

Google ads
Back to top button