Buletin

PROTON CATAT JUALAN 141,432 PADA 2022, PRESTASI TERBAIK SEJAK 2013

Jenama automotif nasional PROTON mengakhiri tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan keseluruhan dengan jumlah tertinggi sejak tahun 2013.

PROTON telah mencatat jualan 141,432 unit di pasaran domestik dan eksport, selepas merekodkan angka 14,750 unit pada Disember, walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun apabila pembekalan alat ganti terjejas akibat banjir, serta kekurangan cip di peringkat global.

Jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang sebanyak 79.1 peratus. Ini membolehkan PROTON mengakhiri tahun 2022 sebagai pengeksport utama industri.

Secara keseluruhannya, PROTON berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) untuk tahun 2022 dianggarkan melebihi 720,000 unit, satu catatan industri baharu yang tinggi.

Jualan untuk lima daripada enam model PROTON meningkat pada tahun 2022 dengan tiga model mengakhiri tahun 2022 sebagai peneraju segmen. Proton X50 terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan jualan 3,764 unit pada Disember. Ia mengakhiri tahun 2022 dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit, meningkat sebanyak 41.4 peratus.

Mengukuhkan lagi kedudukan PROTON sebagai jenama SUV paling popular ialah Proton X70 dengan jualan keseluruhan 18,533 unit, meningkat 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Untuk Proton Exora pula, ia mengekalkan cengkaman kukuh dalam pasaran MPV segmen C dengan 4,275 unit terjual pada tahun 2022, meningkat sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun 2021. Manakala Proton Saga kekal sebagai model terbaik dalam rangkaian kereta PROTON dengan 5,913 unit dijual pada Disember.

Antara model menunjukkan kemajuan positif ialah Proton Persona dengan 2,322 unit dijual pada Disember. Namun, nasib berbeza menimpa Proton Iriz apabila terus dibelenggu isu bekalan dan mengalami penurunan jualan sebanyak 14.9 peratus.

Jualan eksport PROTON terus berkembang sebanyak 79.1 peratus berbanding tahun 2021 dengan angka 5,406 unit. Pertumbuhan itu dibantu oleh peningkatan yang konsisten dalam industri perkapalan serta pertumbuhan di pasaran utama seperti Pakistan dan Afrika Selatan.

Seperti jualan domestik, Proton Saga terus menjadi model eksport paling popular dengan 2,408 unit terjual tahun lepas. Ini merupakan peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sudah tentu, dua model SUV, Proton X50 serta Proton X70 menunjukkan prestasi yang lebih baik, masing-masing mencatat 1,117 dan 1,708 unit.

Google ads
Back to top button