
ACER EKINEKT BD 3 BIKE DESK. KAYUH BASIKAL SAMBIL BUAT KERJA. CEPAT LAH KURUS KALAU MACAM NI…
Acer baru-baru ini memperkenalkan eKinekt BD 3 bike desk, sebuah meja yang digabungkan dengan basikal pegun untuk memperkasakan gaya hidup lebih sihat dan lestari.
eKinekt BD 3 membolehkan pengguna untuk melakukan senaman ketika bekerja menggunakan tenaga kinetik yang dijana daripada kayuhan untuk menguasakan mesin dan mengecas peranti. Paparan LCD dan aplikasi telefon pintar menyediakan maklumat bagi membantu pengguna peka dengan kemajuan semasa senaman atau tempoh kerja.
Pengguna boleh mengubah tahap sukar, tempat duduk dan ketinggian meja berdasarkan posisi yang dikehendaki bagi mendapatkan fleksibiliti tambahan dan keselesaan ketika bekerja atau bersenam.
Menukar tenaga kinetik kepada elektrik boleh guna semula
Ketika pengguna sedang mengayuh, eKinekt menukar tenaga kinetik kepada cas elektrik. Kayuhan selama sejam secara tetap pada kada 60 RPM pada bike desk boleh menghasilkan 75 watt tenaga secara kendiri. Tenaga boleh guna ini dimanfaatkan untuk mengecas laptop agar pengguna boleh menyiapkan kerja dan kekal aktif pada masa yang sama.
Bagi menjelmakan komitmen jangka masa panjang mencari keseimbangan antara solusi kreatif dan melindungi planet, bahagian atas meja eKinekt BD 3 dan ‘casing’ yang melindungi komponen basikal diperbuat daripada plastik terpakai atau post-consumer recycled (PCR).

Keselesaan dan kemudahan ketika bekerja
Bike desk pelbagai fungsi itu menampilkan dua port USB Type-A dan satu port USB Type-C yang membolehkan pengecasan serentak pelbagai peranti mudah alih. Indikator pengecas LED pada belakang basikal menyala ketika kayuhan, memberi isyarat bahawa tenaga kinetik sedang ditukar.
Permukaan luas meja menyediakan pengguna ruang kerja secukupnya, manakala ketinggan dan tempat duduk boleh laras membolehkan mereka sentiasa duduk dalam posisi yang selesa. Bukan itu sahaja, meja itu direka dengan cangkuk beg yang membolehkan pengguna menggantung barangan dan pemegang cawan untuk kekal hidrat, selain mengelak tumpahan ketika berada di atas basikal.
Mod kerja dan bersukan
Semasa Mod Kerja, permukaan meja bergerak sedikit rapat ke tempat duduk bagi membolehkan anda duduk dalam posisi tegak ketika menaip dan mengayuh. Dalam Mod Sukan pula, permukaan meja bergerak sedikit jauh, memberikan lebih banyak ruang untuk tunduk seperti posisi pada basikal standard atau basikal latihan, memberikan ruang kaki tambahan dan meningkatkan kuasa kayuhan.
Rekaan itu membolehkan pengguna memanfaatkan tempoh rehat di antara waktu bekerja untuk kekal bertenaga dan melakukan senaman dalam ruang yang terhad. Pengguna juga boleh kembali ke Mod Kerja dengan meluncurkan meja kembali ke posisi asal.

Menjejak kemajuan pada aplikasi peneman
Aplikasi eKinekt yang mesra pengguna menyediakan maklumat masa sebenar untuk menyemak durasi tunggangan, jarak, kelajuan dan menganggarkan jumlah kalori yang dibakar serta tenaga watt yang terhasil daripada kayuhan. Pengguna boleh memasukkan maklumat peribadi seperti tinggi, berat, jantina dan umur di profil aplikasi untuk penjejakan yang lebih tepat.
Ia juga merekodkan senaman lampau supaya pengguna boleh memeriksa kemajuan senaman dan membandingkan pencapaian dari semasa ke semasa.
Harga dan ketersediaan
eKinekt BD 3 akan berada di pasaran Amerika Utara pada Jun dan ditawarkan pada harga AS$999 (RM4,400) dan berharga 999 euro (RM4,650) di Eropah. Spesifikasi, harga dan ketersediaan berbeza mengikut negara.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ketersediaan, spesifikasi produk dan harga pada pasaran-pasaran tertentu, hubungi pejabat Acer terdekat menerusi www.acer.com.