
PERMINTAAN KUKUH, PROTON EKSPORT 1,000 UNIT KENDERAAN KE AFRIKA SELATAN
Dua bulan selepas kembali semula secara rasmi ke Afrika Selatan, PROTON telah menghantar 1,000 unit kenderaan ke Afrika Selatan untuk memenuhi permintaan kukuh di sana.
Misi syarikat untuk kembali ke pasaran itu selepas berehat selama 10 tahun bermula apabila ia melantik CMH Group sebagai pengedarnya di Afrika Selatan pada April 2022. Penghantaran pertama kenderaan yang terdiri daripada Proton X50 dan Proton X70 dilakukan pada Mei 2022. Manakala pelancaran semula jenama dan produk berlangsung pada 14 September 2022.
Sejak itu, CMH telah meluaskan rangkaian pengedaran secara berperingkat untuk meningkatkan akses pengguna sambil aktif mempromosikan kenderaan Proton di media sosial. Pada masa ini, hanya SUV Proton ditawarkan di negara itu, Proton Saga akan menyertai rangkaian tersebut pada tahun 2023.

PROTON dan CMH optimis terhadap prospek jualan di negara itu ditambah dengan prestasi jualan yang kukuh setakat ini. Oleh itu, mereka menyasarkan untuk menggandakan jualan pada tahun 2023.
Menurut PROTON, jumlah eksport sehingga akhir November berjumlah 5,028 unit dan dengan baki satu bulan sebelum tahun ini berakhir, Bahagian Jualan Antarabangsa PROTON yakin akan dapat menambah jumlah eksport pada masa hadapan.
Pakistan kekal sebagai pasaran terbesar dengan 2,610 unit setakat tahun ini. Afrika Selatan berada di tempat kedua, manakala Brunei Darussalam menduduki tempat ketiga.
Bagi kedudukan model, Proton Saga kekal sebagai tawaran paling popular dan jualan Proton X70 meningkat hampir dua kali ganda pada tahun ini. Proton X50 pula berada di tempat ketiga dan telah meningkat sebanyak tiga kali ganda setakat ini.
- BACA: NAMA PROTON SAGA TERCETUS KETIKA MAIN SAHIBBA – BUKAN DARI BIJI SAGA!
- BACA: PROTON HANTAR 16 KAKITANGAN KE INSTITUT PENYELIDIKAN GEELY SELAMA 6 BULAN
- BACA: PROTON X70 RAI ULANG TAHUN KE-4. INI 10 FAKTA MENARIK PASAL X70
- BACA: DJ RADIO AFRIKA SELATAN KAGUM DENGAN PROTON X50. NETIZEN MALAYSIA BERBALAH PULA








