Buletin

INI 10 KERETA SPORTS KLASIK DAN IKONIK JEPUN YANG MENGGEMPARKAN INDUSTRI AUTOMOTIF DUNIA

Pembuat kereta Jepun mungkin lewat dalam pengeluaran kereta sports. Ketika pengeluar dari Jepun mengeluarkan kereta sports mereka yang pertama, pengeluar dari Eropah atau Amerika telah maju setapak dengan penghasilan model-model ikonik seperti Jaguar E-Type, Chevy Corvette dan Mercedes Benz 300SL.

Walau bagaimanapun, keadaan berubah pada tahun 1965 apabila Jepun memperkenalkan Toyota Sports 800. Dikuasakan oleh enjin 0.8 liter, ia sekaligus menandakan era baharu dalam industri automotif Jepun.

Berikut adalah 10 kereta sports klasik yang dikeluarkan oleh pengeluar Jepun, dari Toyota 2000GT, Mazda Cosmo dan Datsun 240Z hingga ke kereta JDM yang ikonik seperti Celica, Skyline dan RX-Series.

Mazda MX-5 Miata

Diperkenalkan pada tahun 1989, MX-5 atau Miata menghidupkan semula minat orang ramai terhadap roadster berikutan ‘kematian’ kereta seperti Triumph Spitfire dan MG B. Orang ramai menggelarkan kereta ini sebagai pengganti untuk roadster Eropah 50an – 60an, tetapi MX5 berjaya menetapkan penanda arasnya yang tersendiri.

Sejak diperkenalkan, MX-5 terus menjadi roadster terlaris dalam sejarah. Malah, Jeremy Clarkson dari Top Gear tidak dapat menyembunyikan rasa kagumnya dan menggelarnya sebagai kereta sport yang sempurna.

Mazda MX-5 ialah salah satu kereta JDM terhebat, ringan, tangkas, boleh dipercayai, harga berpatutan (di luar negara) serta mampu memberi kepuasan kepada pemandunya.

Acura NSX

Pada awal 1980-an, Honda komited untuk membangunkan kereta yang boleh menandingi prestasi Ferrari berkuasa V8. Beberapa tahun kemudian, Acura membuat penampilan umum pertamanya pada tahun 1989 dengan enjin berkuasa VTEC V6 3.0 liter.

Berbanding Ferrari 348, NSX lebih murah dan dipercayai. Ia juga mendapat manfaat daripada pengendalian hebat disebabkan oleh aerodinamik tercanggih, selain menerima input daripada pemandu legenda Formula 1, Ayrton Senna.

Pada 2016, Honda berusaha untuk menghidupkan semula NSX dengan versi yang lebih berkuasa, namun Acura NSX generasi kedua masih hidup dalam bayang-bayang pendahulunya.

Toyota 2000GT

Pada pertengahan 1960-an, dunia diperkenalkan dengan Toyota 2000GT. Ia membuktikan bahawa pembuat kereta Jepun mampu menyaingi jenama Eropah bahkan lebih menarik berbanding model keluaran Jaguar. Selain memberi fokuskan pada rupa, Toyota turut menambah enjin enam silinder 2.0 liter pada Toyota 2000GT.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa 150hp, cukup untuk memacu pada kelajuan tertinggi 217km/j. Meskipun harganya cukup mahal berbanding pesaingnya, sekurang-kurangnya Toyota 2000GT meletakkan pembuat kereta Jepun di peta dunia.

Honda S2000

Apabila melihat kereta trek JDM, pastinya S2000 berada dalam senarai di antara yang terbaik. Dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder, ia menghasilkan 247hp iaitu lebih daripada mana-mana enjin 4 silinder aspirasi semula jadi pada ketika itu.

Dengan menampilkan teknologi hasil daripada penglibatan Honda dalam dunia perlumbaan, roadster dua tempat duduk itu boleh memberikan kepuasan kepada pemandunya kerana agihan berat 50:50 yang ideal. Harganya yang ‘berpatutan’ dan kebolehpercayaan jenama Honda menjadi sebab kenapa ia sangat disukai.

Mitsubishi 3000GT VR-4

Mitsubishi 3000GT VR-4 terlalu maju untuk zamannya. Ciri yang terdapat pada 3000GT VR-4 ialah komponen canggih termasuklah aero aktif, stereng empat roda, peredam boleh laras elektronik dan pacuan pacuan semua roda.

Dijana oleh enjin V6 pengecas turbo berkembar, ia menawarkan hamburan kuasa 300hp sebelum meningkat kepada 320hp. Walaupun tidak sepopular Nissan Skyline, Mazda RX-7, Toyota Supra atau Acura NSX, ia merupakan karya agung di mata peminat yang arif.

Datsun 240Z

Diperkenalkan pada tahun 1966, Datsun 240Z segera mencuri perhatian dengan reka bentuk yang mengagumkan dan ciri pemanduannya.

240Z juga menawarkan kecekapan bahan api kerana dikuasakan oleh enjin enam silinder 2.4 liter yang kecil. Enjin tersebut boleh menggerakkan kereta itu ke kelajuan tertinggi 217km/j. Tarikan lain adalah harganya yang agak berpatutan serta prestasi mengagumkan.

Mazda RX-7

Sepanjang abad ke-20, beberapa pembuat kereta mencuba dan menguji enjin Wankel dalam kereta mereka, tetapi tidak ada yang berjaya mendekati keupayaan Mazda RX-7 buatan tahun 1978–2002.

Mazda RX-7 FD generasi ketiga menghasilkan 276hp, cukup untuk mencapai 0-100km/j dalam masa 5.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 249km/j.

Walaupun bukan yang terpantas, agihan berat depan/belakang 50:50 RX-7menjadikannya salah satu kereta sport dengan pengendalian terbaik pernah dihasilkan.

Toyota Supra A80

Apabila Toyota Supra dikeluarkan pada tahun 1978, ia hanyalah model yang membosankan. Pada 1993, Toyota telah mengeluarkan Supra generasi keempat dengan kemampuan mengatasi supercar.

Supra A80 menghasilkan 326hp, cukup untuk ia memecut dari 0-100km/j dalam masa 4.6 saat manakala kelajuan tertinggi boleh dicapai ialah 289km/j.

Tidak seperti kereta sports Eropah yang lain, A80 membuktikan bahawa kereta sport berprestasi tinggi juga boleh dipercayai apatah lagi ia dikuasakan oleh enjin lejen 2JZ.

Nissan Skyline GT-R R32 “Godzilla”

Nissan GT-R R32 ialah kereta Nissan paling canggih di atas jalan raya pada tahun 1989. Revolusi tersebut sememangnya memberi tekanan kepada pesaingnya yang lain. Nissan Skyline GT-R R32 mempunyai sistem pacuan ATTESA E-TS AWD, selain enjin enam silinder RB26DETT turbo berkembar 2.6 liter yang begitu berkuasa, R32 sememangnya tiada tandingan.

Jentera itu berjaya mencatat rekod kereta terpantas di litar Nürburgring pada tahun 1989 sebelum memenangi setiap pertandingan yang disertainya antara 1989 dan 1992. Disebabkan prestasinya, ia mendapat jolokan “Godzilla”.

Porsche 959 berfungsi sebagai penanda aras pembangunan R32, maka tidak hairanlah kereta itu mampu menyaingi mana-mana kereta sports lain di dunia.

Lexus LFA

Memasuki era 2000an, Toyota mula menumpukan perhatian kepada pembangunan supercar. Apa yang kita boleh lihat ialah kemunculan Lexus LFA. Lexus LFA mempunyai kelajuan tertinggi 325km/j dan boleh mencapai pecutan 0-100km/j dalam masa cuma 3.6 saat. Sebagai perbandingan, ia sepantas Ferrari 599 2006-2012.

Sudah tentu enjin V10 aspirasi semula jadi 4.8 liter sangat membantu prestasi Lexus LFA. Enjin tersebut dibangunkan bersama Yamaha, di mana enjin rev-happy itu mempunyai garis merah 9,000rpm.

Lebih menarik lagi, deruman enjin itu kedengaran seperti enjin F1 yang menjadikannya sebagai antara enjin V10 terbaik pernah dihasilkan.

Google ads
Back to top button