Buletin

PROTON LANCAR SAGA DI NEPAL. 2 VARIAN, ENJIN 1.3L, HARGA BERMULA RM123K

Proton menembusi satu lagi pasaran baharu apabila mula menjual Saga di Nepal. Ditawarkan dalam dua varian, harga untuk sebuah Saga di sana dilihat cukup mahal iaitu hampir empat kali ganda berbanding di Malaysia.

Diedar secara rasmi oleh Jagdamba Motor Pt. Ltd., Saga merupakan model pertama Proton dilancarkan di Nepal.

Jika berminat, pengguna di sana perlu membayar harga 3.5 juta rupee Nepal yang bersamaan RM122,716 untuk varian 1.3 Standard MT.

Manakala varian Premium AT pula dijual pada harga bermula 3.95 juta rupee Nepal atau RM136,540 seunit.

Kenapa mahal sangat? Ia disebabkan oleh struktur cukai yang mengenakan duti sebanyak 200 peratus ke atas kenderaan import. Selain rangkaian jalan raya yang agak terhad, Nepal juga tidak memiliki industri automotif.  

Kedua-dua varian tersebut menggunakan enjin bersesaran 1,299cc berkuasa 91PS dan tork 117Nm.

Enjin yang sama untuk Saga di pasaran Pakistan itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau empat kelajuan automatik.

Antara ciri yang ditawarkan ialah pendingin hawa dan pemanas. Sementara varian Premium AT dipasang dengan sistem kawalan kestabilan. Dua beg udara, sensor parkir belakang, sistem brek ABS, EBD, BA dan skrin infohibur bersaiz 7-inci turut ditawarkan.

Varian MT hadir dalam warna perak. Manakala varian Premium AT pula menawarkan pilihan warna merah, putih, kelabu dan maroon.

Bagi menarik perhatian pelanggan, Saga didatangkan dengan jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 150,000. Jagdamba dijangka memperkenalkan X70 pada hujung tahun ini.

Proton sebelum ini pernah melancarkan Saga di Kenya dan Mesir.

Google ads
Back to top button