Artikel Pilihan

SAGA VS BEZZA – KENAPA KUAT PETROL

Pantang kami naikkan artikel ataupun video berkenaan Saga atau Bezza, pasti akan ada suara-suara pakar IT, ekonomi, automotif dan juga jutawan kosmetik datang memberi komen. Seperti biasa kami menghargai semua komen yang diberikan oleh pembaca Mekanika. Seperti yang anda juga, komen yang paling hangat disebut ialah Saga pengendalian bagus, Bezza jimat petrol.

Jadi artikel pada hari ini akan memberikan fakta dan perbincangan mengapa Bezza dan Saga walaupun dilengkapi dengan enjin 1300cc namun berbeza dari segi penggunaan petrol. Secara purata penggunaan petrol Perodua Bezza ialah sekitar 17.8km bagi setiap liter (berdasarkan halaju kereta antara 110-140km/j)

Pengalaman pemanduan penulis dengan Proton Saga pula mencatatkan 2 bacaan berbeza. Sekiranya anda menekan pedal minyak sehingga melebihi halaju kebangsaan, maka penggunaan petrol akan menurun sehingga 13.1km per liter. Namun jika dipandu secara berhemah ia boleh sejauh 13.9km per liter.

Di sini kami senaraikan beberapa perbezaan antara Saga dan Bezza yang menjadi faktor kepada perbezaan penggunaan petrol. Bagi tujuan ini kita akan bandingkan antara Bezza Advance dengan Saga 1.3 Premium

Sistem Cesi

Walaupun berada dalam kategori segmen A yang sama dan saiz lebih kurang sama, Bezza dan Saga mempunyai berat yang berbeza. Bezza hanya memiliki berat sekitar 930kg manakala Saga adalah seberat 1075kg. Beza 145kg ya tuan-tuan. Makin berat kereta makin banyak petrol yang diperlukan untuk menggerakkan kereta.

Rumus dia mudah saja, F=Ma di mana F adalah daya, M adalah berat dan A adalah pecutan. Semakin berat, semakin banyak daya yang diperlukan untuk memecut. Namun penulis harus akui Saga merupakan kenderaan yang lebih seronok dipandu di laluan berselekoh berbanding dengan Bezza.

Pada hemat penulis cesi Saga lebih berat kerana lebih banyak pendakap besi dipasang dan struktur cesi diperkukuhkan.

Enjin

Perodua Bezza menggunakan enjin 1NR-VE iaitu enjin siri NR yang berasal dari Toyota. Enjin ini dipasang dengan teknologi dual-VVTi bagi membolehkan proses scavenging dan EGR berlaku. Scavenging berlaku dengan mengambil balik gas ekzos serta mengurangkan sesaran enjin dalam keadaan pemanduan santai. Semasa proses ini berlaku semakin kurang petrol dan udara dibakar.

Gas ekzos yang disedut semula berupaya menyejukkan suhu kebuk pembakaran dan mengurangkan kebarangkalian berlakunya fenomena knocking. Keadaan ini membolehkan enjin ini menggunakan nisbah mampatan yang lebih agresif sehingga 11.5:1. Semakin tinggi nisbah mampatan, semakin efisyen penggunaan petrol.

Malah Bezza dan Saga juga menggunakan strategi yang berbeza dalam rekaan enjin. Bezza menggunakan saiz diameter silinder 72.5mm dan lejang 80.6mm dan ia dikategorikan sebagai enjin undersquare dimana nibah diamater kepada lejang adalah kurang daripada nilai satu.

Pergerakan cam boleh diubah pada injap kemasukan dan ekzos

Toyota sengaja mereka enjin ini dengan kaedah undersquare kerana ia memiliki nisbah isipadu/luas permukaan yang lebih besar yang mengurangkan kehilangan haba dan Brake Spesific Fuel Consumption yang lebih bagus. Lebih baik BSFC, lebih jimat petrol.

Bagi mengatasi masalah geseran dalan antara piston dan silinder, piston telah disalut teflon bagi melincinkan pergerakannya dengan dinding silinder.

Proton Saga pula menggunakan enjin SP4E DOHC yang dilengkapkan dengan mekanisme VVT. Dari segi turutan teknologi, VVT tertinggal 2 anak tangga berbanding dengan teknologi dual-VVTi. Berbeza dengan enjin 1NR-VE yang berupaya mengubah pemasaan injap kemasukan dan injap ekzos secara berterusan, enjin VVT SP4E hanya boleh mengubah pemasaan injap kemasukan sahaja. Itu pun hanya 2 langkah, on atau off saja.

Jadi enjin SP4E tidak boleh menggunakan nisbah mampatan yang agresif seperti 1NR-VE. Enjin ini hanya memiliki nisbah mampatan 10:1 sahaja. Sekiranya ia cuba melebihi nilai 10, mungkin ia akan mengalami fenomena knocking dan pengguna perlu menggunakan RON 97 setiap masa. Tapi apadehal, kawan Abam Japar dah tolong buat formula baru. Petrol lagi murah dari air tin sekarang.

Rekaan silinder SP4E juga berbeza dengan 1NR-VE. Saiz diameter silinder ialah 76mm manakala saiz lejang pula ialah 73.4mm. Ini menjadikan nisbah diameter/lejang ialah 1.03 atau oversquare enjin. Rekaan sebegini memudahkan RPM yang tinggi dicapai dengan mudah. Kalau tekan pedal minyak, senang saja RPM enjin melompat

hanya cam injap kemasukan boleh diubah

Keadaan ini boleh dicapai dengan rekaan bukaan unjap yang lebih besar disebabkan diameter silinder yang lebih besar. Namun pada masa yang sama kecekapan haba menjadi semakin rendah disebabkan diameter piston menjadi semakin besar.

Apa yang kita boleh rumuskan di sini ialah, enjin 1NR-VE adalah lebih efisyen jika dibandingkan dengan enjin SP4E dari segi aplikasi dual VVT-i, rekaan silinder dan juga nisbah mampatan.

Teknologi Eco Idle

Ia juga dikenali dengan nama Start/Stop di mana sistem ini akan mematikan enjin ketika di perhentian lampu isyarat dan menghidupkan semula enjin secara automatik apabila pedal minyak ditekan atau pedal brek dilepaskan. Dalam kajuan yang dijalankan oleh rancangan Fifth Gear, penjimatan sebanyak 15% boleh dicapai melalaui teknologi ini terutama melibatkan laluan kesesakan jalan di bandar.

Berbanding dengan Bezza, Saga tidak memiliki teknologi ini untuk meminimakan penggunaan petrol

Gear Ratio

Berdasarkan pemerhatian kami, Saga dan Bezza juga menggunakan gear ratio yang berbeza. Jika diperhatikan pada jadual di atas, gear ratio Saga lebih agresif jika dibandingkan dengan gear ratio Bezza. Ini membolehkan pecutan Saga menjadi lebih agresif berbanding dengan Bezza.

Namun pada masa yang sama, ia menjadikan operasi enjin Saga di luar operasi Brake Spesific Fuel Consumption. RPM yang rendah semasa operasi menjadikan Bezza lebih jimat petrol berbanding dengan Saga

Sistem Stering

Eh apa kaitan sistem stering dengan penjimatan petrol? Sebelum pembaca mengecam penulis merepek seperti Nobita, baca dulu penerangan penulis. Bagi membolehkan sistem bantuan stering beroperasi dengan bantuan kuasa, terdapat dua kaedah yang digunakan oleh pengeluar samaada bantuan kuasa elektrik ataupun bantuan kuasa hidraulik.

This image has an empty alt attribute; its file name is 18.jpg

Saga menggunakan sistem bantuan kuasa hidraulik dimana terdapat tali sawat yang akan disambungkan dengan enjin bagi menjalankan fungsi pam hidraulik. Dalam terma mekanikal, apabila wujudnya pam akan terjadi parasitic lost. Pam akan mencuri kuasa enjin untuk berfungsi setiap masa walaupun anda tidak menggunakan stering

Bezza pula menggunakan sistem bantuan motor elektrik. Kuasa elektrik akan dibekalkan oleh bateri. Berbeza dengan sistem hidraulik, kuasa bateri hanya akan dibekalkan kepada motor elektrik apabila pemandu memberi input kepada stering. Jika stering tidak digunakan, tiada kuasa elektrik akan dibekalkan.

Tapi ingat ya, stering hidraulik feel dia lagi sedap dari stering elektrik. Tindakbalas stering lebih neutral. Kalau stering elektrik, tindak balas dia ibarat minta tukang masak jadi panglima askar. Kalau stering elektrik ditala untuk menjadi responsif, maka pengeluar perlu menggunakan sistem yang lebih mahal. Ini akan menyebabkan harga kereta akan menjadi lebih mahal.

Jadi kami berharap anda dapat memahami kenapa enjin Saga dan Bezza walaupun kedua-duanya datang dengan saiz 1300cc, strategi yang diambil oleh Perodua dan Proton adalah berbeza. Kalau anda masih tidak faham, cetak saja artikel ini, rebus dalam periuk, dan minum air rebusan bersama campuran kopi cap janda. InsyaAllah faham.

Google ads
Back to top button