
RASMI: MORBIDELLI T250X MENDARAT DI MALAYSIA JANUARI 2026 – DARI RM9,888
Baru-baru ini MForce Bike Holdings telah mengadakan lawatan ke China bagi menyaksikan pelancaran beberapa model baharu untuk pasaran tempatan.

Antara mencuri tumpuan adalah motosikal adventure satu silinder 250cc tawaran Morbidelli menerusi T250X yang hadir dengan harga jualan hanya RM9,888 bagi versi standard dan RM11,288 bagi versi Special Edition (lengkap dengan panniers dan top case).
Atas kertas, T250X ini menawarkan 24.4hp pada 7,500rpm dan 22.3Nm pada 6,000rpm yang terhasil dari enjin satu silinder 249cc dengan sistem penyejukan udara (air-cooled). Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.

Perincian lain ditawarkan termasuk ABS dwi-saluran, traction control, meter digital LCD 7-inci berwarna serta slot pengecas USB Type-A.
Antara kelengkapan yang turut tersenarai adalah fork USD 41mm dengan jarak gerak 177mm dan monoshock belakang dengan jarak gerak 55mm dengan pelarasan pra-beban. Pakej brek pula terdiri dari brek 2-piston depan dan belakang masing-masing dipadankan bersama cakera 265mm depan dan 220mm belakang.

Selain itu, T250X ini turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 11.7L dengan berat keseluruhan 154kg dan tayar berukuran 19-inci depan dan 17-inci belakang.
Menurut MForce, Morbidelli T250X ini akan mula memasuki pengedar rasmi seluruh negara pada Januari 2026.








