
TERKINI: MBP FINDER T250X SAH MASUK MALAYSIA – BAWAH RM10K
Peminat motosikal adventure berkapasiti 250cc bakal diceriakan dengan tawaran terbaru kali ini menerusi MBP Finder T250X.
Motosikal segmen adventure itu bakal menjadi topik perbualan baru di Malaysia ekoran bakal hadir dengan harga yang mampu milik.

Kami difahamkan Finder T250X akan datang dengan dua varian untuk pasaran tempatan. Menariknya, varian tertinggi (dengan top box dan panniers) akan dijual pada harga bawah RM12k manakala varian standard (tanpa box) akan ditawarkan pada harga bawah RM10k.
Tawaran harga tersebut, sekiranya benar, tentunya akan menggembirakan ramai peminat motosikal adventure 250cc yang mengharapkan model yang lebih mampu milik berbanding tawaran sedia ada dalam pasaran.

Atas kertas, Finder T250X dipacu enjin satu silinder 250cc yang berupaya menjana 24.5hp dan 21Nm. Enjin suntikan bahan api EFI Bosch itu turut dipadankan dengan radiator dwi-kipas. Bagi pasaran Eropah, motosikal ini ditawarkan dengan versi 125cc.
Tidak cukup dengan itu, Finder T250X ini turut hadir dengan skrin TFT jenis menegak, pencahayaan LED dan rim lidi berukuran 19-inci depan dan 17-inci belakang. Pakej elektronik pula merangkumi ABS dan traction control yang boleh dipadamkan.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk handguard, swingarm aluminium dan skid plate. Berat keseluruhan motosikal ini hanya 151kg walaupun hadir dengan tangki berkapasiti 12L.
Tawaran terbaru dari MForce itu akan memberi saingan kepada Suzuki V-Strom 250SX yang dijual di Malaysia pada harga RM17.8k.

MBP Finder T250X ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia sekitar bulan Ogos ini.