
TERKINI: SYM ADXTG 400 MASUK MALAYSIA TAHUN INI – BAWAH RM35K?
Tahun 2025 jelas menampakkan permintaan terhadap motosikal skuter semakin meningkat dan tidak hairanlah bulan Januari 2025 sahaja melihatkan pelancaran empat model skuter maxi baharu.
Zontes menghadirkan 368G diikuti MODA dengan Sporter-S 250 kemudian SYM Husky ADV 300 dan terbaru AVETA Vanguard 250.
Bagaimanapun, kami difahamkan bahawa pengedar rasmi jenama SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings bakal melancarkan sebuah lagi skuter maxi untuk pasaran tempatan tahun ini.

Lebih menarik, sumber memberitahu kami bahawa skuter maxi tersebut sedang dibincangkan untuk diposisikan dibawah RM35k. Ini bermakna, ADXTG 400 yang juga merupakan skuter gaya adventure pertama dari SYM bakal bersaing dengan Zontes 368G dan Honda ADV 350.
Namun begitu, segala perubahan tarikh pelancaran dan harga rasmi tertakluk kepada pihak MForce.

SYM mendakwa ADXTG 400 diinspirasikan dari haiwan zaman prasejarah ‘smilodon’ yang merupakan sejenis harimau ‘sabretooth’. Disebabkan itu, ADXTG 400 hadir dengan reka bentuk yang agresif dan panel badan yang bersegi.
Terlindung disebalik panel badan dan kerangka adalah enjin satu silinder 399cc dengan teknologi Hyper-VVS yang berupaya menghasilkan 35hp pada 7,000rpm dan 37Nm pada 5,500rpm. Menurut SYM, 90 peratus tork hadir seawal 4,500rpm.

Meskipun enjin satu silinder terkenal menghasilkan gegaran yang tinggi namun SYM memuatkan dua ‘balancer shaft’ bagi mengurangkan tahap gegaran agar tunggangan lebih selesa. Dalam pada itu, SYM tidak menggunakan pendekatan konvensional dalam penghasilan ADXTG 400 kerana kuasa enjin disalurkan kepada tayar belakang menggunakan rantai berbanding tali sawat (belt).

Satu lagi ciri menarik yang menjadikan ADX TG 400 ini unik termasuklah satu-satunya skuter yang mengguna pakai swingarm jenis ‘aluminium’ dengan Sanyang Multilink Suspension. Tak cukup dengan itu, SYM turut memasang ‘handlebar’ boleh laras yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian penunggang.
SYM turut meletakkan jarak kelegaan tanah pada 160mm, 15mm lebih tinggi dari ADV 350. Ketinggian tempat duduk pula diletakkan pada 790mm.

Untuk rekod, ADXTG 400 merupakan motosikal pertama SYM yang hadir dengan mod ‘off-road’ yang ditawarkann sistem ABS. Seperti kebiasaan, mod ‘off-road’ ini hanya akan mengaktifkan ABS di tayar depan. Brek mengejut juga akan mengaktifkan lampu brek kecemasan (EBL).

Perincian lain ditawarkan secara standard termasuk:
- ruang bawah tempat duduk 32L
- sistem Smart Key (keyless)
- USB QC 3.0
- penghadang angin boleh laras
- handguard dan engine guard
- lampu LED dengan DRL
- skrin digital LCD
- berat 213kg
- tangki bahan api 13L
GALERI: SYM ADXTG 400











