" "
Motosikal

TERKINI: ZONTES ZT 703 F ADVENTURE BAKAL LANCAR MEI INI – HARGA BAWAH RM50K? 

Selepas kejayaan memperkenalkan Zontes 368G baru-baru ini, Zontes Malaysia bakal memperkembangkan tawaran dengan jentera terbaru menerusi ZT 703F Adventure. 

Bakal bersaing dalam segmen motosikal adventure kelas pertengahan, kami diberitahu ZT 703F Adventure dijadualkan untuk pelancaran sekitar suku kedua tahun ini di Malaysia Autoshow 2025. 

ZT 703 Adventure merupakan motosikal paling berkuasa pernah dibangunkan Zontes ekoran dipacu enjin tiga silinder 699cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 97hp pada 10,000rpm dan 76Nm pada 7,500rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang dioperasikan sistem quickshifter dan ‘traction control’. 

Atas kertas, ZT 703 F Adventure ini mengguna pakai casis jenis aluminium dengan kerangka utama didakwa hanya 11kg sementara kerangka belakang pula hanya 3.8kg. Bahagian swingarm juga menggunakan bahan jenis aluminium ringan. 

Menariknya, dengan tangki penuh 22L, ZT 703 F ini hanyalah 228kg sekaligus menjadikan model ini agak ringan bagi segmen motosikal adventure bersesaran 700cc.

Pakej suspensi juga cukup mengagumkan dengan fork depan jenis USD dan penyerap hentak belakang yang dibekalkan Marzocchi. Brek pula merangkumi brek jenis radial dari J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek berkembar di depan dan menawarkan fungsi ABS. 

Zontes ZT 703 F Adventure ini juga dilengkapi dengan rim jenis lidi (spoke) berukuran 21-inci depan dan 18-inci belakang yang dipadankan dengan tayar Michelin secara standard. Ketinggian tempat duduk pula diletakkan pada 845mm.

Motosikal ini turut dilengkapi dengan grip pemanas dan panel meter TFT 6.75-inci yang boleh disambung ke peranti pintar. Juga ditawarkan pengecas USB, dashcam serta sistem tanpa kunci (keyless). 

Sementara itu, kami difahamkan bahawa harga anggaran bagi motosikal adventure terbaru ini adalah bawah RM50k sekaligus bakal memberi saingan kepada motosikal seperti Triumph Tiger Sport 660 yang juga dipaciu enjin 3-silinder. 

GALERI: ZONTES ZT 703F ADVENTURE

Google ads
Back to top button