
RASMI: MOTO MORINI X-CAPE 1200 DIUMUMKAN UNTUK PASARAN MALAYSIA – RM49,888
MForce Bike Holdings dengan rasminya melancarkan Moto Morini X-Cape 1200 untuk pasaran Malaysia ketika majlis pelancaran yang berlangsung di Taizhou, China, pada Khamis.
Majlis pelancaran yang berlangsung meriah bersama perwakilan Moto Morini di China itu mencetuskan kejutan ekoran motosikal berkuasa tinggi itu dijual pada harga RM49,888 sekaligus menjadikan X-Cape 1200 motosikal adventure touring bersaiz penuh dengan harga paling rendah dalam pasaran.

Atas kertas, Moto Morini X-Cape 1200 menampilkan reka bentuk jentera adventure masa kini dengan panel sisi yang besar dan bersegi, tangki yang besar, penghadang angin tinggi, dan tempat duduk yang luas dan selesa.
Bagi memastikan X-Cape 1200 tidak ketinggalan di belakang pesaing lain, motosikal ini datang dengan ciri terkini antaranya lampu nyalaan LED dengan ‘cornering light’ (yang akan diaktifkan ketika melalui selekoh).

Bahagian depan pula menempatkan ‘dash-cam’ yang akan membuat rakaman perjalanan sementara bahagian belakang pula dilengkapi dengan radar bagi fungsi pengesanan ‘blind spot’, ciri sama turut ada pada BMW R 1300 GS, Ducati Multistrada V4 dan KTM 1390 Super Adventure.
Kelengkapan brek juga premium dengan brek Brembo (berkembar) depan dan (tunggal) belakang yang dipadankan dengan cakera berkembar 320mm depan dan 280mm belakang.

Pakej elektronik juga serba lengkap dengan skrin TFT berwarna 7-inci yang menawarkan fungsi navigasi, cruise control, quick-shifter dan traction control dengan tiga peringkat tetapan. Selain itu, motosikal ini turut menawarkan 3-mod menunggang.
X-Cape 1200 ini juga tidak ketinggalan dari segi kuasa apabila menawarkan 125hp pada 9,000rpm dan 105Nm pada 7,000rpm yang dihasilkan dari enjin dua-silinder V2 Corsa Corta EVO 1,187cc dengan nisbah mampatan 12.4:1.

Kelengkapan lain ditawarkan termasuk kerangka jenis trellis, fork depan jenis terbalik boleh laras, rim spoke (lidi) berukuran 19-inci depan dan 17-inci belakang yang dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Trail 3 terbaru serta tangki bahan api berkapasiti 23L.
Sementara itu, ketinggian tempat duduk adalah 860mm sementara berat bersih adalah 245kg manakala jarak kelegaan tanah diletakkan pada 190mm.

Menurut MForce, Moto Morini X-Cape 1200 ini akan mula didapati di pengedar rasmi MForce seluruh negara bermula Januari 2026.
GALERI: MOTO MORINI X-CAPE 1200

























