Motosikal

RASMI: SKUTER EV GAYA RETRO, YADEA RS20 MENDARAT – RM4,998

Selepas pelancaran YADEA Velax minggu lalu, jenama motosikal elektrik diedarkan MForce itu memperkenalkan model baharu untuk pasaran tempatan menerusi YADEA RS20 yang dijual pada harga RM4,998.

Berbeza dengan Velax yang menampilkan reka bentuk moden, RS20 pula menawarkan rupa bentuk retro klasik.

Menggerakan RS20 adalah motor elektrik berkuasa 2.45kW yang berupaya menjana 107Nm. Atas kertas, skuter EV ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 51km/j dan berupaya mencapai jarak 105km dengan setiap cas penuh.

Penggunaan bateri jenis Graphene 72V22Ah pula memerlukan tempoh 6 jam untuk pengecasan 0 hingga 80 peratus dan 8 jam sekiranya mengecas dari 0 hingga 100 peratus.

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk fork teleskopik, penyerap hentak berkembar di belakang, tayar 12-inci depan dan belakang, cakera brek depan dan dram brek di belakang yang dipadankan bersama sistem CBS (Combine Braking System).

Sementara itu, panel meter digital pula boleh disambungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi YADEA.

Dalam pada itu, MForce juga memaklumkan bahawa YADEA RS20 akan turut tersenarai dalam program inisiatif MARiiCas sekaligus mereka yang layak akan menerima rebat RM2,400. Ini bermakna, RS20 ini boleh dimiliki pada harga hanya RM2,598 tidak lama lagi.

GALERI: YADEA RS20

Google ads
Back to top button