Buletin

KEMENANGAN QUARTARARO SUNTIK SEMANGAT POSITIF DALAM PASUKAN- RAZLAN

Fabio Quartararo yang melakar kemenangan ketiga dalam MotoGP musim ini telah menyuntik semangat positif dalam pasukan.

Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali berkata kemenangan ketiga Fabio Quartararo dalam MotoGP musim ini telah menyuntik semangat positif dalam pasukan.

Sebelum ini, Quartararo memperoleh kemenangan berturut-turut pada GP Sepanyol dan GP Andalusia di litar Jerez.

“Ia bagus untuk kejuaraan, buat Fabio dan Franco Morbidelli, terutama untuk Fabio yang kembali memimpin kejuaraan (dengan 108 mata) menjelang GP di (litar) Le Mans,” katanya dalam laman web pasukan.

Beliau turut berpuas hati dengan keputusan keseluruhan dicapai para pelumba pada GP Catalunya di litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol semalam.

Razlan turut yakin bahawa pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing – Xavi Vierge dari Sepanyol dan Jake Dixon dari Britain akan bangkit semula pada GP Perancis awal bulan depan selepas mengalami kemalangan di GP Catalunya.

Dalam pada itu, beliau percaya pelumba Moto3, John McPhee dari Scotland, masih mempunyai peluang cerah meraih gelaran Kejuaraan Dunia Moto3.

“Beliau masih berada pada kedudukan ketiga dalam kejuaraan (dengan 98 mata), tetapi masih ada enam perlumbaan yang perlu diselesaikan. Apa sahaja boleh berlaku. Peluang untuk menang kejuaraan masih ada.

“Malangnya, (rakan sepasukan) KIP (Khairul Idham Pawi) belum menunjukkan bakat sebenarnya, dan kami tidak pasti mengapa beliau tidak mencapai potensi sebenar.

“Sebagai satu pasukan, kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan prestasi beliau bertambah baik pada perlumbaan seterusnya,” katanya.

Google ads
Back to top button