Buletin

SEIKO SPEEDTIMER EDISI TERHAD – NOSTALGIA KEMENANGAN DATSUN 240Z SAFARI RALLY 1971

Apabila berbicara tentang jam tangan yang berinspirasikan dunia automotif, kebanyakan orang mungkin terus teringat kepada jenama seperti Tag Heuer, Rolex, Richard Mille atau Oris, terutamanya yang mempunyai kaitan rapat dengan Formula 1.

Namun, bagi Seiko, hubungan mereka dengan sukan permotoran mempunyai sejarah yang tersendiri.

Hubungan Seiko dengan perlumbaan bermula sejak beberapa dekad lalu. Sebelum Tag Heuer terkenal dengan kerjasama bersama Ayrton Senna, pelumba legenda Brazil itu pernah mengenakan jam tangan jenama Jepun ini pada era 80-an dan 90-an.

Tetapi sejarahnya bermula lebih awal lagi—pada tahun 1971, navigator Hans Schuller, bersama pemandu Edgar Herrmann, menjuarai East African Safari Rally dengan jentera Datsun 240Z sambil mengenakan Seiko Speedtimer di pergelangan tangan.

Rali Safari ketika itu merupakan ujian ketahanan sebenar untuk pemandu dan kenderaan, didominasi jenama besar seperti Porsche, Peugeot, dan Ford.

Kemenangan Datsun pada tahun tersebut bukan sahaja menjadi sejarah pertama buat jenama itu, malah melonjakkan popularitinya di seluruh dunia. Maka tidak hairanlah Seiko memilih untuk meraikan detik bersejarah itu.

Bagi memperingati kejayaan tersebut, Seiko memperkenalkan tiga model edisi terhad Prospex Speedtimer yang diinspirasikan oleh Datsun 240Z. Koleksi ini menggabungkan unsur reka bentuk era lewat 60-an dan awal 70-an dengan teknologi pembuatan jam moden, penuh dengan sentuhan dunia automotif.

Model pertama ialah SPB517, jam automatik berdiameter 39.5mm yang menggunakan Caliber 6R55. Ia dilengkapi bezel kiraan undur bergaya perlumbaan, dihasilkan sebanyak 2,500 unit, dengan aksen merah serta logo Datsun era 70-an pada muka jam dan penutup belakang.

Seterusnya ialah SSC957, kronograf bertenaga solar berdiameter 41.4mm yang menggunakan Caliber V192 dengan simpanan kuasa sehingga enam bulan.

Terhad kepada 4,000 unit, ia menampilkan ukiran ilustrasi khas 240Z pada penutup belakang dan merupakan model paling mudah diakses dalam siri ini.

Model ketiga, SRQ057, ialah kronograf automatik 42mm yang dipacu oleh Caliber 8R48 dengan column wheel dan vertical clutch, terhad hanya 500 unit.

Ia mempunyai bezel takimeter hitam, logo skrip Datsun klasik, serta tali kulit gaya perlumbaan daripada pembekal bertauliah Leather Working Group.

Selain edisi terhad, Seiko turut akan memperluaskan rangkaian Prospex Speedtimer dengan model bukan edisi terhad yang mengekalkan rekaan vintaj tetapi tanpa penjenamaan Datsun.

Koleksi edisi terhad ini akan mula dijual di seluruh dunia mulai September 2025 melalui butik Seiko dan pengedar terpilih.

Harga yang ditawarkan ialah sekitar USD 1,150 (RM5,260) untuk SPB517, USD 1,000 (RM4,570) untuk SSC957 dan USD 3,200 (RM14,624) untuk SRQ057.

GALERI:

Google ads
Back to top button