
YOSHIHIKO MATSUO DAN REKA BENTUK IKONIK DATSUN 240Z
Rekaan Datsun 240z disifatkan sebagai sempurna dari setiap sudut dan sangat menyenangkan dari segi estetika. Bahkan jentera itu nampak cantik apabila fotonya dirakam.
Di sebalik reka bentuk yang sempurna itu ialah pereka utamanya, Yoshihiko Matsuo yang patut menerima segala pujian. Beliau meninggal dunia pada 11 Julai pada usia 86 tahun.
Matsuo dilahirkan pada 10 Julai 1934, di Himeji, selatan Jepun. Menurut laman web Japanese Nostalgic Car, dia turut membantu mereka bentuk Daihatsu Midget semasa menghadiri Kolej Seni Universiti Nihon. Sejak itu, Matsuo bekerja dengan Nissan.
Datsun pada masa itu memerlukan sebuah kereta sport mampu milik yang pantas. Selain boleh bersaing dengan jentera dari Eropah seperti MGB Roadsters, Fiat 124 Spider dan Mini Cooper.

Jadi, Matsuo mereka semula model sedan Nissan Bluebird 410. Sebenarnya, Pininfarina pernah mereka bentuk Bluebird 1964 tetapi Matsuo tidak menyukainya. Dia menyataka garisan belakang sedan yang terkulai itu “seperti seseorang mencangkung di tandas”.
Jualan model itu juga rendah kerana pengguna tidak menyukainya. Matsuo kemudian membantu ‘membersihkan’ garisan tersebut dengan memberikan penampilan bahagian belakang yang lebih menarik.
SSS (Super Sports Sedan) di bawah arahannya mendapat shifter yang dipasang di lantai dan karburetor berkembar untuk kuasa yang lebih sporty. Hasilnya, angka jualan meningkat dengan pantas.
Bagaimana 240z bermula
Kepercayaan yang diberi oleh Nissan membolehkan Matsuo mereka bentuk 240z asal yang dikenali sebagai Nissan Fairlady Z di Jepun. Matsuo memberi fokus pada kos rendah dan sebuah kereta GT dengan fixed-roof. Tiada siapa yang benar-benar memintanya, tetapi dia tetap meneruskan meskipun perlu berhadapan dengan kekangan daripada pihak pengurusan Datsun.
Pasukan Matsuo bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk kereta itu. Tetapi mereka juga perlu ingat, bahan yang akan digunakan, peningkatan pada masa dep an yang perlu ditampung dan semua itu perlu selaras dengan kos pengeluaran.
Enjin 2.4 liter enam silinder sebaris itu mampu menghasilkan kuasa 150hp pada 6,000rpm dan sistem pacuan empat roda memberikan kualiti pengendalian yang sangat baik. Kereta berkenaan pada asalnya dijual pada harga $3,500 (RM15,750) atau bersamaan kira-kira $23,000 (RM103,500) pada hari ini.
Pada tahun 1969, kereta itu memperoleh kejayaan besar di Amerika apabila mencatat jualan sekitar 150,000 unit sehingga tahun 1973. Ketika itulah Nissan mengukuhkan reputasinya sebagai gergasi yang semakin berkembang dalam bidang automotif. Tanpa menoleh ke belakang, kereta itu seterusnya membuktikan kebolehannya dalam pelbagai siri perlumbaan serta memenangi rali Safari Afrika Timur pada tahun 1971 dan 1973.
Masa depan Z
240Z kini menjadi ikon reka bentuk yang penuh fungsi. Ia kemudiannya berevolusi menjadi 260Z, 280Z dan 300ZX seiring dengan perkembangan masa dan keperluan kuasa. Nissan 370Z pula meneruskan tradisi yang kini kelihatan sedikit lebih besar.
Matsuo juga mereka bentuk Cedric 230 (dikenali sebagai Datsun 200C/220C) dan model klasik Bluebird 610 sebelum meninggalkan Nissan.
Nissan sudahpun memperkenalkan 400Z pada tahun ini. Ia merupakan tafsiran moden terbaik untuk 240z asal, penghormatan kepada salah satu reka bentuk paling ikonik dalam sejarah automotif.